Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung isu pengisytiharan harta masih belum menemui titik akhir.
Perkembangan ini terus menjadi perhatian ramai memandangkan ia melibatkan figura politik paling berpengaruh dalam sejarah negara.
Terbaru SPRM kini sedang mendapatkan maklumat daripada pihak berkuasa di United Kingdom (UK) berhubung aset dimiliki Dr. Mahathir.
Menurut Kosmo! Online, Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki memaklumkan buat masa ini, siasatan terhadap Dr. Mahathir masih berjalan.
“Siasatan terhadap Dr. Mahathir masih lagi dijalankan dan SRPM sedang mendapatkan maklumat terperinci daripada pihak luar, terutama daripada pihak berkuasa UK berhubung aset-aset yang dimilikinya.
“Sekiranya maklumat berkenaan diperoleh, kita akan maklumkan kemudian,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.
Azam sebelum ini dilaporkan membuat pendedahan bahawa Dr. Mahatir antara individu berprofil tinggi yang disiasat oleh SPRM berhubung isu pengisytiharan harta.
Malah dua anaknya, Mirzan dan Tan Sri Mokhzani, juga diberi notis untuk mengisytiharkan harta dalam tempoh yang dinyatakan dalam notis mengikut Seksyen 36 Akta SPRM 2009.
Baca juga: Kapal dinaiki peserta Sumud Flotilla termasuk Greta Thunberg diserang dron, terbakar