Pendakwah bebas, PU Hariz berkongsi perjalanan kerjaya isterinya, Noor Neelofa saat mengumumkan untuk berniqab.
Katanya, pada waktu itu ada jenama antarabangsa membatalkan kontrak bernilai jutaan ringgit saat usahawan terbabit memilih untuk berniqab.
Namun katanya, selepas melihat Neelofa tetap berjaya mengekalkan gaya pemakaian muslimah yang menjadi ikutan, syarikat terbabit datang semula menawarkan bayaran berkali ganda.
“Ada sebuah syarikat besar dari Perancis jual produk penjagaan wajah. Mereka kata, ‘Neelofa sudah pakai niqab, jadi kami perlu fikirkan semula nak ambil dia atau tidak.’ Mereka bubarkan kontrak yang nilainya jutaan ringgit.
“Kalau saya, projek berjuta macam ini saya akan minta mereka sambung semula, tapi Neelofa tak pilih macam tu. Apabila pakai niqab dan tonjolkan cara pemakaian yang ‘trendy’, ramai orang pun beli.
“Kemudian, syarikat yang buang dia datang kembali bagi tawaran berkali ganda lebih tinggi berbanding dahulu, mereka minta dan merayu Neelofa menjadi duta,” katanya dalam sebuah video baru-baru ini memetik Kosmo!.
Perkongsian tersebut dibuat bagi menunjukkan bahawa para muslimah tidak perlu bimbang untuk memilih gaya menutup aurat sepenuhnya.