Kecoh pelanggan tuang alkohol dalam cawan restoran, siap marah staf bila ditegur

Oleh MAISARAH AISYA

Tular satu gambar restoran kedai nasi ayam terkenal cawangan Kajang apabila seorang pelanggan didakwa membawa masuk minuman beralkohol ke dalam premis berkenaan.

Menerusi Threads, seorang pengguna media sosial sajanaksharestory berkongsi mengenai kejadian tersebut.

Pemilik akaun memaklumkan lelaki terbabit pada mulanya meminta segelas kosong daripada pekerja restoran sebelum mengeluarkan beer dan menuangkannya ke dalam gelas tersebut.

“Nak tanya, boleh ke minum beer dalam restoran Chicken Rice Shop?

“Dia minta gelas kosong dengan staf di situ, kemudian keluarkan beer dan tuang ke dalam gelas tersebut,” ujarnya di Threads.

Tindakan tersebut bagaimanapun ditegur oleh pekerja restoran. Namun, lelaki berkenaan dikatakan bertindak memarahi staf yang menegurnya.

“Staf datang menegur dengan baik, tetapi dia marah staf berkenaan. Malah, staf itu terpaksa memanggil pengawal keselamatan.

“Apabila security datang dan menegur, dia tetap berdegil dan terus marah. Dia juga berulang kali mengatakan ‘kita satu Malaysia’,” kongsinya.

Difahamkan, pihak restoran akhirnya bertindak membuang gelas yang digunakan pelanggan tersebut.

“Kejadian ini berlaku di cawangan CRS di Kajang, dan difahamkan staf di situ akhirnya membuang gelas yang digunakan,” jelasnya.

Menariknya, lelaki itu tetap mempertahankan tindakannya dan mendakwa hanya mahu menikmati makanan bersama anaknya.

“Apabila ditegur, dia mendakwa hanya mahu makan bersama anaknya yang baru pulang dari sekolah, namun tetap menimbulkan kekecohan,” katanya lagi.

Baca juga: Pelanggan jumpa serangga dalam air, kesal pekerja tak minta maaf siap jawab ia ‘normal’