“Saya gembira, tapi kadang rasa kosong” – Sharnaaz kongsi sisi hidup sebagai duda

Oleh MAISARAH AISYA

Bagi sesetengah individu, perceraian bukanlah penamat kepada kehidupan berkeluarga, sebaliknya menjadi titik permulaan untuk membuka lembaran baharu.

Ada juga individu yang selepas melalui pengalaman perceraian memilih untuk hidup solo tanpa mencari pengganti.

Begitu juga buat pelakon Sharnaaz Ahmad yang sudah lima tahun bergelar duda, baginya dia belum terbuka hati mencari pasangan baharu lapor Berita Harian.

“Saya tak tahu, itu semua perancangan Allah. Kalau ada jodoh, saya tiada masalah untuk bernikah. Tapi buat masa ini, Tuhan berikan macam-macam nikmat lain.

“Jadi, kalau Dia mahu beri saya jodoh, pasti Dia akan temukan, cuma sekarang belum masanya,” katanya seperti dipetik Berita Harian.

Bapa kepada Jebat Jayden yang kini berusia 8 tahun itu menganggap soal jodoh bukanlah keutamaan dan mengakui ada yang cuba mendekati.

“Saya tak cari pasangan yang sempurna. Biarlah jodoh itu yang datang kepada saya. Kalau kita yang mencari, belum tentu kasih sayangnya sama seperti kita menyayangi dia.

“Tetapi kalau dia yang datang, itu ikhlas 100 peratus, jadi jagalah baik-baik. Memang ada yang mendekati, ada juga yang saya cuba dekati.

“Tapi saya lebih selesa berkawan. Kalau bercakap soal hubungan serius, setakat ini memang tiada. Kalau ada, saya akan beritahu,” katanya.

Dalam masa sama dia mengakui ada masanya merasa kosong hidup bujang namun bersyukur ada rezeki di tempat lain.

“Saya gembira, tapi kadang-kadang rasa kosong ketika sakit, Hari Raya atau berbuka puasa. Waktu itu kita perlukan teman, tapi saya tiada.

“Walaupun begitu, saya tetap bersyukur. Tuhan beri saya rezeki lain, cuma bahagian jodoh belum hadir. Kalau tidak datang pun, saya tidak kisah, saya tak tergesa-gesa,” tambahnya.

Sekadar info Sharnaaz pernah mendirikan rumah tangga bersama Noor Nabila pada 31 Mac 2017 sebelum berpisah pada 9 Julai 2020.

Baca juga: Abby Abadi nak Marissa bahagia, tak setuju tugas ibu bapa selesai lepas anak kahwin