Istilah ‘jadi diri sendiri’ hanya mainan syaitan – PU Syed tegur trend artis buka hijab

Oleh MALAYSIADATELINE

Fenomena artis di Malaysia yang memilih untuk membuka tudung sering kali mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan masyarakat.

Lebih-lebih lagi apabila artis merupakan figura awam yang menjadi contoh kepada peminat, tindakan membuka tudung dianggap mampu memberi kesan negatif kepada generasi muda.

Pendakwah bebas, PU Syed menerusi Facebook menegur trend segelintir artis wanita yang memilih untuk membuka tudung selepas berhijab dengan alasan mahu menjadi diri sendiri.

“Trend ‘berundur’ daripada berhijab kepada membuka hijab bukanlah suatu yang baik untuk ditonjolkan kepada peminatnya.

“Istilah untuk ‘jadi diri sendiri’ hanyalah mainan syaitan yang berjaya membisikkan hasutannya kepada seseorang,” ujarnya dalam hantaran di Instagram.

Menurut PU Syed, fenomena tersebut bukanlah sesuatu yang baik untuk ditonjolkan kepada para peminat.

“Semakin hari semakin tenat industri hiburan di Malaysia ini. Program-program lagha semakin rancak dianjurkan,” katanya.

Malah dia juga merasa kesal apabila melihat anak muda, lelaki dan perempuan, terkinja-kinja dalam acara hiburan.

Apa yang lebih menyedihkan, katanya, ada ayah yang ‘redha’ anak perempuannya berpakaian ketat serta diusung penari lelaki semata-mata demi sebuah persembahan.

“Segala perbuatan itu bukan sahaja mendatangkan dosa, malah pasti membuatkan ibu bapa yang telah meninggal dunia berasa sedih di alam barzakh.

“Nak jadi diri sendiri atau nak dekat dengan Allah, bukan dengan jalan melakukan maksiat kepada-Nya,” katanya lagi.

Baca juga: Rakan Amira Othman turut doakan keluarga Fazura, mohon netizen berhenti laga-lagakan