Isu pemasangan papan tanda Maybank pada fasad Menara Merdeka 118 mengundang pelbagai reaksi netizen yang bimbang identiti nasional bangunan itu “terjejas”.
Sebahagian besar warganet berpendapat penampilan logo bank tersebut “merosakkan” imej menara kedua tertinggi dunia itu, yang dibina sebagai simbolik sejarah Tunku Abdul Rahman melaungkan “Merdeka” pada 1957.
Ada yang menyuarakan kebimbangan orang ramai kelak menganggap bangunan tersebut sebagai “Maybank Tower”.
Walaupun begitu, dari sudut perniagaan langkah itu dilihat munasabah kerana Maybank merupakan penyewa utama (anchor tenant) yang bakal memindahkan kira-kira 5,900 staf mereka ke 33 tingkat di menara itu pada tahun 2026.
Pemerhati ekonomi, Nazri Hamdan, berkata isu ini mencerminkan pertembungan antara hak komersial dan nilai warisan kebangsaan.
“Dalam dunia korporat, penyewa terbesar lazimnya diberi hak paparan jenama kerana mereka membayar sewa paling tinggi.
“Namun dalam kes Merdeka 118, bangunan itu sudah diposisikan sebagai simbol negara. Kalau lambang korporat terlalu dominan, ia boleh mengaburi identiti kebangsaan yang kita mahu tonjolkan,” katanya.
Nazri menambah, kerajaan dan pihak berkuasa tempatan boleh mempertimbangkan garis panduan jelas bagi memastikan bangunan ikonik negara mengekalkan imej nasional tanpa mengetepikan hak syarikat komersial.
“Kita tidak menafikan hak perniagaan, tetapi panduan yang seimbang boleh mengelakkan konflik persepsi masyarakat seperti yang berlaku sekarang,” ujarnya.
Isu papan tanda ini turut dibandingkan dengan Menara Berkembar Petronas (KLCC) yang walaupun dimiliki Petronas, tidak memaparkan papan tanda besar syarikat tersebut pada bahagian luaran bangunan.
Baca juga: Dah sampai KL baru sedar tak bayar, pelanggan cepat-cepat minta QR