26,000 lesen memandu diperbaharui setiap hari lepas PM umum subsidi RON95

Oleh KIM SYAZIE

Sejak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat pengumuman pelaksanaan subsidi petrol RON95, sebanyak 26,000 transaksi pembaharuan Lesen Memandu Kompeten (CDL) direkodkan setiap hari sejak 22 September lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, jumlah itu melonjak 53 peratus berbanding purata harian sebelum ini iaitu kira-kira 17,000 transaksi selepas Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan kelayakan menikmati subsidi berkenaan bermula 30 September ini.

“Berdasarkan rekod, sejumlah 23,125 transaksi dicatatkan pada 23 September, meningkat sedikit iaitu 0.15 peratus kepada 23,160 transaksi pada esoknya.

“Jumlah itu kemudiannya melonjak secara signifikan 45.6 peratus kepada 33,714 transaksi pada 25 September. Pembaharuan lesen ini dibuat melalui saluran sedia ada termasuk kaunter JPJ, Pos Malaysia serta platform dalam talian MyEG,” katanya.

Menurutnya, negeri yang bercuti hujung minggu pada Jumaat seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu turut mencatatkan jumlah lebih tinggi berbanding negeri lain selepas JPJ membuka kaunter pada hari cuti, semalam.

“Trend ini menunjukkan orang ramai semakin proaktif memperbaharui lesen untuk menikmati manfaat BUDI RON95, selain membuktikan kesedaran terhadap kepentingan memiliki lesen sah seperti termaktub dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Bermula hujung minggu ini hingga 26 Oktober, semua kaunter JPJ berkaitan urusan lesen memandu serta semakan saman termasuk di Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan pejabat negeri akan dibuka setiap Sabtu dan Ahad di seluruh negara,” ujarnya.

Baca juga: Warga asing dapat gaji RM5,000 sebulan di Malaysia, dedah punca tak balik Bangladesh