Warga asing dapat gaji RM5,000 sebulan di Malaysia, dedah punca tak balik Bangladesh

Oleh WAN SITI AMINAH

Satu pendedahan dibuat oleh seorang lelaki warganegara asing asal Bangladesh mengenai pendapatan diterimanya selepas bekerja di Malaysia telah berjaya mengundang perbincangan hangat di laman media sosial baru-baru ini.

Menerusi satu rakaman tular di platform TikTok, pemuda terbabit tidak memaklumkan pekerjaan yang dilakukan di negara ini namun mengakui menerima pendapatan hingga mencecah RM5,000 pada setiap bulan.

Perkara itu ditambah dengan keselesaan yang dinikmati sepanjang kehidupannya di Malaysia membuatkan warga asing terbabit tidak memiliki keinginan untuk pulang ke Bangladesh sepanjang 10 tahun bekerja di sini.

Namun pendapatan sebanyak itu bukanlah mudah untuk diperoleh memandangkan pemuda terbabit perlu bekerja selama 10 jam setiap hari malah dikatakan tidak mengambil cuti pelepasan.

“Saya sudah berada di Malaysia selama 10 tahun dan gaji dalam RM4,000 sehingga RM5,000 sebulan. Setiap hari, saya akan bekerja selama 10 jam dan tidak mengambil cuti. Duduk, kerja dan tidur di Malaysia sangat selesa.

“Sampaikan saya belum balik (ke Bangladesh). Dekat sini semuanya baik-baik sahaja. Tiada yang tidak ‘okay’. Yang tidah okay, Bangladesh sahaja,” katanya dalam rakaman tersebut dalam nada berseloroh.

Rakaman itu berjaya mencuri perhatian ramai sehingga meraih sebanyak 3.5 juta tontonan di mana rata-rata pengguna berkongsi pendapat sama bahawa warga asing memperoleh pendapatan lumayan kerana mereka bekerja ‘teruk’.

Seorang individu mendakwa bekerja di bahagian Sumber Manusia (HR) juga tampil mendedahkan sikap pekerja warga asing yang membuatkan para majikan sanggup mengeluarkan belanja untuk memberi gaji tinggi kepada mereka.

“Warga asing ada bekerja sehingga 12 jam sehari. Dapat rehat satu jam sahaja. Kerja enam hari seminggu, tak pernah ambil cuti sakit. Hari cuti pun sanggup datang kerja kalau dipanggil. Tak merungut juga. Orang kita juga boleh dapat gaji macam itu kalau bekerja dengan mereka,” kata pekerja HR terbabit.

“Jangan hairanlah dengan gaji mereka. Kalaulah tengok mereka bekerja, kita juga tak sangguplah buat macam itu. Bekerja dari pagi sampai malam. Walaupun kena marah mereka tenang sahaja. Cuba orang kita. Kerja macam sehari sahaja, esok tak datang.” Kongsi pengguna lain.

Baca juga: Harga durian melonjak! 2 tan Musang King mampu jana RM32,000