Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi jaminan bahawa kerajaan sedang berusaha sedaya upaya untuk memastikan pembebasan segera semua sukarelawan dan aktivis Malaysia yang ditahan dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla ke Gaza.
Menurut beliau, usaha sedang giat dijalankan melalui pelbagai saluran diplomatik dan kerjasama antarabangsa melibatkan negara-negara ASEAN serta rakan strategik lain.
“Saya dan pasukan sedang giat berhubung dengan pihak berkepentingan termasuk saluran diplomatik dalam usaha memastikan sukarelawan dan aktivis Malaysia, ASEAN dan antarabangsa dibebaskan dengan segera,” ujar beliau dalam satu kenyataan rasmi hari ini.
Beliau turut menzahirkan sokongan moral kepada keluarga semua aktivis dan sukarelawan yang terlibat, sambil mengakui bahawa situasi yang dihadapi kini amat mencabar dan menguji kekuatan mental serta emosi.
“Kepada ahli keluarga semua aktivis dan sukarelawan, semoga terus diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi detik mencabar ini.
“Perkembangan setiap proses menuju pembebasan akan dimaklumkan dari masa ke masa,” tambahnya.
Anwar turut mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersatu dalam doa agar semua tahanan, terutamanya warganegara Malaysia, berada dalam keadaan selamat dan dipelihara daripada sebarang ancaman sepanjang proses ini berlangsung.
“Marilah kita bersama-sama memanjatkan doa agar semua tahanan, khususnya warga Malaysia, berada dalam keadaan selamat dan terpelihara,” kongsinya.
Baca juga: Anwar Ibrahim kecam keras tindakan Israel halang misi kemanusiaan ke Gaza