Proton e.MAS 5 kini dibuka untuk tempahan, harga mampu milik dari RM60,000

Oleh KIM SYAZIE

Kereta elektrik (EV) pertama Proton, Proton e.MAS 5 kini menjadi antara model EV paling mampu milik di pasaran tempatan apabila tempahan kini dibuka pada harga antara RM60,000 hingga RM80,000.

Proton e.MAS 5 dicipta khas untuk rakyat Malaysia yang mahukan sebuah kenderaan mesra alam bagi kegunaan harian.

Ia menggabungkan rekaan moden, pacuan roda belakang dan jarak pemanduan praktikal sehingga 325 kilometer.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET), Zhang Qiang, berkata model itu dibangunkan dengan falsafah untuk menjadikan teknologi EV lebih mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat.

“Ia bukan sekadar sebuah EV, tetapi simbol gaya hidup baharu yang menggabungkan gaya, kepraktisan dan kelestarian. 

“Kami ingin mengajak rakyat Malaysia menyertai perjalanan menuju masa depan mobiliti yang lebih hijau,” katanya dalam satu kenyataan.

Siaran langsung yang dikendalikan oleh pempengaruh Boss James dan Norreen Iman itu berjaya menarik lebih 572,000 penonton di seluruh negara melalui pelbagai platform digital rasmi.

SUV elektrik kompak itu dilengkapi teknologi pintar seperti sistem operasi ATLAS OS dengan arahan suara dwibahasa iaitu Bahasa Melayu dan Inggeris, serta kemudahan pengecasan pantas DC.

Ia juga disokong oleh ekosistem pengecasan rumah dan peta pengecasan langsung bagi memudahkan pemilik mencari stesen berhampiran.

Pelancaran rasmi model itu yang disiarkan secara langsung semalam, menandakan langkah penting Proton dalam memperluas ekosistem kenderaan elektrik nasional di bawah jenama Proton e.MAS yang diperkenalkan pada Jun 2024.

Orang ramai yang berminat boleh membuat tempahan awal dengan bayaran RM99 di mana-mana 42 pusat jualan Proton e.MAS di seluruh negara atau menerusi laman web rasminya.

Sebagai promosi pengenalan, pelanggan awal akan menerima Kad Proton e.MAS Touch ‘n Go NFC edisi terhad bernilai RM100 dan rebat tambahan RM500, selagi stok masih ada.

Baca juga: Elly Mazlein kini bertudung, terdetik berubah lepas lihat perjuangan sukarelawan Sumud Flotilla