Zaman sekarang semakin ramai individu tidak hanya bergantung kepada satu pekerjaan, malah sanggup melakukan kerja sampingan demi menampung perbelanjaan keluarga yang kian meningkat.
Dengan kos sara hidup yang semakin menekan, mereka terpaksa membahagikan masa antara kerja utama dan pekerjaan tambahan seperti berniaga kecil-kecilan, menjadi pemandu e-hailing, atau bekerja dalam talian selepas waktu kerja.
Menerusi perkongsian seorang pengguna Facebook, Ahmat Ikhram tidak menyangka perbualan kosong bersama Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong itu dipandang serius.
Steven Sum yang Menteri Sumber Manusia mengambil inisiatif untuk membantu selepas mendengar luahan lelaki tersebut.
“Dua minggu lepas masa konvoi Penang Rider, aku bawa Menteri Sumber Manusia, YB Steven Sim. Atas motor tu, YB sembang dengan aku.
“Dia tanya awat buat dua kerja? Aku jawab, komitmen banyak. Nak bayar kereta, insurans, itu ini. Bila aku sebut insurans aku RM590, YB nampak terkejut.
“Aku bagitau, sebab aku bayar sekali untuk bini. Lepas tu senyap. Tak sangka apa-apa pun. Bagi aku, sembang tu habis kat situ ja,” ujarnya dalam hantaran di Facebook.
Bagaimanapun dia kemudian menerima mesej dari pejabat Steven Sim yang mahu berjumpa dengannya.
“Sampai-sampai saja, depa (mereka) bagi tau. Benda ni dah lama YB minta depa bagi tau aku tapi tak sempat. Rupanya YB nak tolong bayarkan insurans aku dan isteri selama setahun.
“Bukan setakat tu saja, insurans anak aku yang baru lahir pun YB setuju nak bayar.
Aku terdiam. Tak tau nak kata apa. Terkejut dan tak sangka rupanya YB ingat benda yang kami sembang masa atas motor tu.
“Terharu sungguh. Terima kasih banyak YB. Saya tak akan lupa jasa baik YB ni,” kongsinya.
Baca juga: Proton e.MAS 5 kini dibuka untuk tempahan, harga mampu milik dari RM60,000