Tujuh tuduhan kekal, Muhyiddin gagal gugurkan kes rasuah dan AMLA berjumlah lebih RM400 juta

Oleh MALAYSIADATELINE

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan gagal untuk menggugurkan tujuh pertuduhan membabitkan salah guna kedudukan dan tiga kes pengubahan wang haram (AMLA).

Empat daripada pertuduhan terhadap Muhyiddin membabitkan dakwaan menyalahgunakan kedudukan sebagai Perdana Menteri dan Presiden BERSATU untuk mendapatkan suapan sebanyak RM233.5 juta.

Manakala tiga lagi pertuduhan membabitkan penerimaan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun parti.

Menurut Harian Metro, kes berprofil tinggi yang dihadapi Muhyiddin akan diteruskan dengan perbicaraan, dimana pihak pendakwaan akan memanggil 30 saksi untuk memberikan keterangan.

Ini adalah susulan Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi yang dihantar pasukan peguam Ahli Parlimen Pagoh yang diketuai peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik itu untuk menggugurkan kesemua tujuh tuduhan berkenaan pada 19 Ogos lalu.

Dalam masa sama, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, AGC menolak representasi itu pada 22 Ogos lalu.

Peguam Datuk Amer Hamzah Arshad memaklumkan bahawa pembelaan sudah menerima senarai saksi, bagaimanapun memerlukan pernyataan saksi bagi menyediakan pembelaan.

Menurut Wan Shaharudin, pendakwaan memerlukan tarikh perbicaraan untuk menghimpunkan semua dokumen bagi diserahkan kepada peguam bela.

Manakala Hakim K Muniandy menetapkan 10 November ini bagi sebutan kes sebelum mahkamah memutuskan tarikh perbicaraan.

Baca juga: Di tengah kecaman terhadap PMX, setpol Anwar terus turun lapangan jumpa peserta GSF di Istanbul