Kerajaan terus memperkukuh komitmen terhadap Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) menerusi beberapa langkah strategik dalam Belanjawan 2026.
Ini termasuk peningkatan kadar duti eksais terhadap produk tembakau dan minuman keras, serta insentif bagi terapi gantian nikotin dan vaksinasi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam pembentangan Belanjawan di Dewan Rakyat semalam berkata, langkah tersebut bertujuan mengurangkan tabiat merokok dan pengambilan alkohol, di samping mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat Malaysia.
Duti eksais rokok dan alkohol dinaikkan
- Bermula 1 November 2025, kadar duti eksais akan disemak semula seperti berikut:
- Rokok: Naik sebanyak 2 sen setiap batang;
- Cerut (cigars), cheroots dan cigarillos: Naik RM40 sekilogram;
- Produk tembakau yang dipanaskan (heated tobacco): Naik RM20 sekilogram kandungan tembakau
- Minuman keras: Duti eksais dinaikkan sebanyak 10 peratus.
“Kerajaan turut melanjutkan tempoh pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas produk terapi gantian nikotin dan diperluas kepada produk nicotine mist dan nicotine lozenges sehingga 31 Disember 2027.
“Bagi mengurangkan akses kepada minuman beralkohol dan menggalakkan gaya hidup lebih sihat, Kerajaan bersetuju supaya kadar duti eksais bagi produk minuman keras dinaikkan sebanyak 10 peratus mulai 1 November 2025,” ujar Anwar dalam pembentangan Belanjawan 2026.
Anwar menjelaskan bahawa hasil tambahan daripada pelarasan cukai ini akan diagihkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memperkukuh perkhidmatan rawatan dan pencegahan.
“Hasil tambahan daripada rokok dan minuman keras akan diagihkan kepada Kementerian Kesihatan antaranya untuk Inisiatif Kesihatan Paru-Paru KKM serta bagi rawatan diabetes dan penyakit jantung.
“Mencegah lebih baik daripada mengubati. Dicadangkan, perbelanjaan pemvaksinan yang layak mendapat pelepasan cukai pendapatan individu diperluas meliputi semua jenis vaksin yang didaftar dan diluluskan oleh KKM,” jelasnya.
Baca juga: Belanjawan 2026: Geran padanan hingga RM4,000 untuk pemilik lupus kereta lama