Pempengaruh media sosial, Cikgu Li yang lebih dikenali sebagai Rambo Castello terpaksa ditidurkan di Rumah Sakit Sardjito, Jogjakarta, Indonesia sejak 5 Oktober lalu selepas mengalami serangan jantung.
Difahamkan, Cikgu Li yang juga pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jeli, Kelantan itu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital ketika mengikuti lawatan kerja di Jogjakarta bersama deligasi rakan setugasnya.
Beliau yang juga Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Perancangan itu kini ditemani oleh isterinya, Asiah Abdullah, 55, dan anak ketiga, Hafizul Fazli, 30, yang bergegas ke Jogjakarta sebaik dimaklumkan mengenai keadaannya.
Menurut Asiah, Cikgu Li atau nama sebenarnya Ahmad Radzli Che Ngah, 59, sampai ke Jogjakarta bersama rakan-rakan setugas dari PPD Jeli pada 4 Oktober lalu sebelum dikejarkan ke hospital pada keesokan harinya, lapor Berita Harian.
“Pada mulanya, suami terkena serangan jantung sebelum muntah dan tidak sedarkan diri. Rakan-rakannya terus membawa suami ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Selepas beberapa prosedur rawatan dilakukan, tangan suami bergerak sebelum pihak hospital meminta izin untuk rawatan intubasi (menidurkan pesakit),” katanya memetik laporan Berita Harian.
Asiah bersama anak ketiganya lalu terbang ke Jogjakarta pada 6 Oktober susulan menerima khabar tersebut untuk berada di samping Ahmad Radzli yang kini dilaporkan dalam keadaan stabil walaupun ditidurkan.
Sebelum terkena serangan jantung, Asiah memaklumkan bahawa suaminya bersama rakan-rakan baru sahaja selesai melakukan aktiviti rekreasi dan mahu pulang ke hotel penginapan sebelum termuntah di dalam kereta.
“Saya diberitahu ketika berada di dalam kereta, suami muntah sebelum tidak sedarkan diri. Pihak hospital memaklumkan bahawa suami terkena serangan jantung. Suami kini bernafas dengan bantuan oksigen.
“Namun keadaannya semakin baik dan stabil. Saya meminta orang ramai mendoakan keadaan suami agar kembali pulih seperti biasa dan dapat pulang ke Kelantan secepat mungkin,” pintanya.
Wanita yang tinggal di Kampung Wakaf Zing, Jeli itu juga memberitahu bahawa anaknya sedang menguruskan insurans untuk menampung kos rawatan suaminya di Jogjakarta.
Melalui akaun Rambo Castello, Cikgu Li berjaya mengumpul ratusan ribu pengikut di media sosial dengan kandungan jenaka berunsur nasihat, cara hidup orang kampung dan tips bercucuk tanam.
Baca juga: Kibar bendera Israel di Sungai Kelantan, ini respon pengarah program