Alangkah hancurnya hati seorang ibu apabila zuriat yang dinantikan sekian lama pergi buat selamanya selepas lima hari bertarung nyawa di hospital ekoran terjatuh daripada ‘baby bouncer’ atau ayunan bayi.
Itulah kejadian pilu dialami oleh wanita dikenali sebagai Aeisya yang dikongsikan menerusi satu hantaran tular dimuat naik di platform TikTok agar ibu bapa lain dapat mengambil pengajarnya daripada pengalamannya.
Menurut Aeisya, kejadian berlaku sewaktu anaknya yang berusia enam bulan itu ditinggalkan sebentar di atas ayunan manakala sang ibu pula pergi ke dapur untuk memakan ubat ekoran sedang tidak sihat.
Sewaktu ibunya berada di dapur, bayi terbabit dipercayai bangun daripada tidurnya dan terus meniarap sebelum terjatuh dari ayunan dalam keadaan mengiring di mana jaraknya tidak begitu jauh dengan lantai.
“Setelah lima bulan pemergian anak syurga saya, Baeim El Hamka Hafizie. Hari ini terdetik untuk bercerita menenai insiden yang terjadi kepadanya. Baeim ketika itu sedang tidur dan saya ke dapur. Tanpa sedar, tiba-tiba dia sudah bangun dari tidur dan terus nak meniarap.
“Tak sempat saya sambut, dia sudah terjatuh mengiring. Ayunan bayi tidak terbalik, hanya dia sahaja yang jatuh. Kepalanya dipercayai terjatuh atas kotak tisu basah bayi, bukan terus ke lantai. Namun masa angkat itu, dia sudah menangis kuat.
“Selepas dipujuk semua, dia di dalam keadaan baik-baik sahaja. Tiada benjol, lebam ataupun muntah. Dia macam normal. Masa itu tak jangka apa-apa pun. Letak dia dalam ‘walker’. Dia main macam biasa keliling rumah,” katanya dalam perkongsian itu.
Pada waktu petang pula, Aeisya yang bekerja syif malam itu kemudian menghantar anaknya ke rumah rakan yang membantunya menjaga bayi terbabit sebelum menerima panggilan mengejutkan pada sekitar jam 6.30 petang.
Aeisya ketika itu dimaklumkan bahawa anaknya tiba-tiba menangis dengan teruk selain mengalami kekejangan dan segera meminta rakannya menghantar Baiem ke klinik sebelum turut menyusul ke lokasi sama.
“Saya sudah nak sampai ke tempat kerja. Terus suruh dia bawa ke klinik. Kemudian klinik bawanya ke hospital. Saya juga terus berpatah balik ke hospital dengan jalan sesak. Menggigil, Allah sahaja yang tahu perasaan saya sambil bawa kereta itu.
“Sampai ke hospital, nadi dia sudah tiada. Doktor berikan bantuan (CPR) kira-kira 20 minit, baru ada balik nadinya. Tetapi keadaan dia sudah kritikal. Doktor buat imbasan di kepala, kesan ada pendarahan sebelah kanan. Memang tempat di jatuh.
“Selepas stabil, doktor pindahkan anak ke Hospital Tunku Azizah (HTA). Lima hari bertarung nyawa. 28 March 2025 pada pagi Jumaat sekitar pukul 2, anak saya pergi. Tak tahu apa perasaan masa itu. Namun kami suami isteri, reda dengan ketentuannya.” Kongsinya.
Lebih memilukan, Baeim adalah anak sulung pasangan itu selepas tiga kali Aeisya mengalami keguguran namun mereka berdua reda dengan takdir dan kejadian yang berlaku hanyalah asab kepada ajal yang telah ditentukan.
Sang ibu berharap perkongsian tersebut dapat dijadikan pengajaran kepada penjaga lain dan tinjauan mendapati setakat artikel ini ditulis, 3.2 juta tontonan dan 229,300 tanda suka daripada pengguna TikTok.
Baca juga: Dipanggil ke balai kerana ‘mendidik’, luahan guru dapat sokongan netizen