Kibar bendera Israel – penganjur mohon maaf, sedia beri kerjasama untuk siasatan

Oleh MALAYSIADATELINE

Meskipun sudah memberi penjelasan bahawa bendera Israel dikibar hanya sebahagian daripada sketsa, masih ramai meluahkan rasa tidak berpuas hati.

Tampil memohon maaf, Pengarah Program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan untuk Gaza, Mohd Khairul Hafiz Hassan menerusi satu video berdurasi 2.33 minit menjelaskan dengan lebih lanjut.

Jelasnya, bendera Israel hanya dikibarkan selama 6 minit sahaja untuk menunjukkan lakonan ketika bot Global Sumud Flotilla ditahan semasa pelayaran.

Mohd Hafiz membuat permohonan maaf kepada mereka yang hanya melihat video pendek yang tular, dan menegaskan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mengeluarkan kenyataan.

“Tidak ada apa-apa niat untuk mengibarkan bendera, itu hanyalah lakonan dan sketsa semata-mata.

“Saya juga memohon maaf sekiranya mana-mana netizen atau orang awam yang tidak mengikuti secara awal, salah faham yang timbul itu saya mohin maaf.

“Saya juga akan bertanggungjawab sebagai penganjur.

“Saya akan beri kerjasama baik untuk semua pihak berkuasa atau Kerajaan yang ingin mengambil kenyataan daripada saya.” kongsinya dalam video di TikTok.

Dalam masa sama dia menafikan program tersebut melibatkan mana-mana parti politik sebaliknya sumbangan adalah daripada orang awam.

“Saya juga ingin menegaskan sekali lagi tiada mana-mana parti politik, baik Kerajaan Negeri ataupun Pusat yang memberi sumbangan moral atau bajet kepada program ini.

“Program ini dilakukan 100 peratus oleh orang awam dan juga sumbangan daripada syarikat, individu yang tidak terlibat dengan mana-mana parti,” tegasnya.

Baca juga: Kibar bendera Israel di Sungai Kelantan, ini respon pengarah program