Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan dipecat daripada Bersatu berhubung isu akuan bersumpah (SD) yang dikaitkan dengan usaha mendesak pengunduran presiden parti tersebut sebelum ini.
Tindakan pemecatan itu turut dikenakan ke atas empat ahli Bersatu lain yang juga ketua bahagian parti manakala keahlian Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad pula digantung selama satu penggal.
Kedudukan Wan Saiful dan Ahmad Fayhsal sebagai Ahli Parlimen bagaimanapun tidak terjejas memandangkan pemecatan keahlian tidak tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan khususnya undang-undang bertukar parti.
Empat lagi pemimpin akar umbi yang berdepan tindakan pemecatan ini adalah Mohd Azrudin Md Idris (Hang Tuah Jaya); Mohd Faizal Asmar (Pengerang); Mohd Fadhli Ismail (Ipoh Timur) serta Mohd Isa Mohd Saidi dari Bahagian Ampang.
Namun menurut Lembaga Disiplin Bersatu, mereka yang didapati bersalah melanggar disiplin parti dan dijatuhi hukuman ini berhak mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari.
Difahamkan, tindakan terhadap mereka diambil kerana didapati bersalah melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan BERSATU dan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli susulan sesi pendengaran pada 8 Oktober lalu, lapor Berita Harian.
“Lembaga Disiplin sudah menerima aduan bertulis daripada ahli parti terhadap responden berhubung pelanggaran peruntukan perlembagaan dan tatakelakuan ahli parti.
“Sehubungan itu, Lembaga Disiplin mengambil tindakan menyiasat aduan dan memanggil responden untuk satu sesi pendengaran pada 8 Oktober lalu dan seterusnya membuat keputusan selaras dengan FASAL 22.5 Perlembagaan BERSATU.
“Lembaga Disiplin membuat keputusan berdasarkan siasatan dijalankan serta pertimbangan yang sewajarnya tanpa melibatkan mana-mana campur tangan pihak lain, bebas dan tidak berat sebelah,” kata lembaga itu memetik laporan Berita Harian.
Sebubungan dengan itu, Lembaga Disiplin menggesa kepada ahli parti lain supaya mematuhi Perlembagaan dan Peraturan Kod Etika & Tatakelakuan Ahli demi menjaga nama baik BERSATU.
Sekadar info, mereka yang dikenakan tindakan didakwa terbabit mengumpul SD dalam kalangan ketua bahagian BERSATU di seluruh negara bagi mendesak pengunduran Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pengumpulan SD tersebut juga dipercayai bertujuan untuk mengusulkan perbincangan mengenai langkah transisi kepemimpinan parti kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Baca juga: Bersatu gantung keahlian Wan Fayhsal