Kementerian Kewangan mengumumkan peluasan kelayakan subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95) kepada pengguna bot berdaftar di Sarawak.
Dalam kenyataan dikeluarkan Kementerian Kewangan semalam, ia adalah sebagai langkah penambahbaikan berperingkat bagi memastikan manfaat disalurkan secara menyeluruh kepada rakyat.
Langkah ini menyusuli pelaksanaan kelayakan kepada pengguna bot di Sabah dan mereka yang berdaftar di bawah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) minggu lalu.
Dengan peluasan ini, lebih 1,400 pengguna bot persendirian berdaftar di Sarawak kini layak menerima manfaat BUDI95.
Dalam masa yang sama, siling penggunaan subsidi petrol bagi pemandu e-hailing sepenuh masa turut dinaikkan sekali ganda kepada 600 liter sebulan.
Peningkatan ini melibatkan lebih 53,900 pemandu e-hailing di seluruh negara, hasil kerjasama Kementerian Kewangan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Selain itu, lebih 11,400 pemegang lesen memandu yang baru menerima lesen atau memperbaharui lesen juga kini layak menerima manfaat BUDI95. Ini termasuk:
- 11,200 pemandu yang baru memperoleh lesen
- 260 pemandu yang memperbaharui lesen
Keseluruhannya, lebih 16 juta rakyat Malaysia telah menerima manfaat subsidi bersasar di bawah BUDI95 setakat ini.
Kerajaan MADANI menegaskan komitmennya untuk memastikan program subsidi ini dilaksanakan secara telus, teratur dan memberi impak langsung kepada rakyat.
Pihak Kementerian Kewangan bersama agensi berkaitan akan terus menilai pelaksanaan BUDI95 dan melaksanakan penambahbaikan dari semasa ke semasa.
Baca juga: Ini punca Bersatu pecat Wan Saiful, kedudukan sebagai Ahli Parlimen tidak terjejas