Kebetulan berada di lokasi kejadian, perawat kongsi situasi bantu pulihkan Amad

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang perawat tampil mendedahkan situasi sebenar di sebalik kejadian penyanyi cilik, Ahmad Dayyan yang rebah sebelum membuat persembahan di pentas akhir Talk To My Manager (TTMM) pada malam Ahad.

Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Instagram, perawat terbabit memberitahu bahawa dirinya hadir pada malam kejadian untuk memberikan sokongan kepada sahabatnya iaitu pelawak, Shuib.

Perawat terbabit kemudian diminta untuk menghulurkan bantuan kerana penyanyi yang lebih mesra disapa sebagai Amad itu sudah tidak mampu berdiri tegak sewaktu tiba gilirannya membuat persembahan.

Sedangkan sebelum itu, pihak pasukan perubatan sudah melakukan pemeriksaan dan mendapati kanak-kanak berusia 13 tahun terbabit berada dalam keadaan normal dan tidak memiliki masalah kesihatan.

“Kebetulan saya di sana untuk menyokong Shuib. Mereka minta saya bantu mana yang mampu. Pada mulanya, adik Amad langsung tumbang. Tak boleh bangun, lembik lutut secara tiba-tiba apabila sampai gilirannya menyanyi.

“Pasukan perubatan ada di situ juga periksa adik Amad dan mendapati dia normal dan sihat. Selepas ‘tarik keluar’ gangguan, dia boleh bangun dan berjalan. Semangat cuba lawan dan naik juga pentas nak nyanyi,” kongsinya.

Keadaan Amad bagaimanapun kembali lemah selepas menyanyi malah sempat jatuh pengsan sebelum perawat itu membantu memulihkannya dan adik kepada kanak-kanak terbabit yang turut menerima gangguan.

Dalam perkongsian sama, perawat itu turut menyeru agar pihak berkaitan melakukan sesuatu untuk memulihkan lokasi program TTMM berlangsung supaya masalah sama tidak terjadi lagi.

“Budak mana mampu nak lawan. Habis nyanyi, dia terus tumbang dan pengsan. Selepas itu sambung pulihkan dia dan adiknya. Minta siapa-siapa yang pandai untuk bantu pulihkan dewan tersebut.

“Takut kejadian berulang kembali nanti. Apa pun pak cik doakan adik Amad terus sihat dan kembali ceria. Insya-Allah, ada rezeki yang lebih banyak menanti adik Amad selepas ini. Amin.” Ujarnya dalam hantaran itu.

Baca juga: ‘Kadang sehari dapat RM20 pun saya bersyukur’ – wanita gagah hantar makanan sambil bonceng tiga anak