Pelbagai versi cerita tersebar berkaitan insiden tragis melibatkan pelajar Tingkatan Empat yang maut akibat ditikam, sehingga ibu mangsa tampil menjelaskan situasi sebenar bagi meredakan kekeliruan dan spekulasi orang ramai.
Sebelum ini timbul dakwaan mengenai anaknya ditikam sebanyak 50 kali namun ibu mangsa, Wong Lee Pong mendedahkan bahawa ahli patologi memaklumkan jumlah sebenarnya adalah 200 kali.
Jelasnya banyak laporan yang tidak benar tersebar di media sosial, dan ia mengguris hati pihak keluarga lapor Harian Metro.
“Tolong hentikan semua cerita palsu. Anak saya mangsa sebenar. Ada luka besar dan kecil di bahagian kanan badan, termasuk leher dan paru-paru.
“Hasil siasatan polis memaklumkan suspek melompat dari bahagian atas bilik tandas yang berkunci sebelum menikam menikam anak saya.
“Anak saya menjerit meminta tolong, tetapi pintu tandas terkunci. Bila cikgu pecahkan pintu, anak saya sudah tiada,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Dalam masa sama Wong menafikan juga dakwaan bahawa anaknya mempunyai hubungan dengan suspek seperti yang tersebar di media sosial.
“Anak saya tidak kenal pun budak itu. Dia pelajar Tingkatan 4, suspek pula Tingkatan Dua, tidak pernah berjumpa atau berhubung,” katanya.
Tegas beliau, khabar angin konon mangsa dirogol juga tidak benar dan meminta orang ramai berhenti menyebarkan fitnah yang menambah kesakitan kepada keluarga.
Wong turut berharap pihak berkuasa dapat memberi keadilan kepada anaknya dan mempertingkat keselamatan di sekolah.
“Sekolah sepatutnya tempat selamat, tapi sekarang jadi menakutkan,” katanya.