Nur Sajat mohon maaf, pohon doa kesembuhan lepas hampir 2 minggu jatuh sakit

Oleh WAN SITI AMINAH

Usahawan sensasi, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat tampil membuat permohonan maaf sekiranya pernah melakukan kesilapan atau kesalahan kepada mana-mana pihak.

Permohonan maaf tersebut dibuat oleh usahawan yang kini yang kini menetap di Sydney, Australia itu menerusi satu perkongsian dimuat naik di Instagram Story miliknya susulan diuji dengan masalah kesihatan.

Dalam hantaran tersebut, sosok kontroversi berusia 38 tahun itu mengakui sudah hampir dua minggu jatuh sakit termasuk batuk kering, masalah hingus dan kahak tidak berhenti selain muntah setiap kali makan.

Sehubungan dengan itu, Sajat memohon orang ramai untuk mengirimkan doa buatnya agar masalah kesihatan yang kadangkala membuatkan dirinya rasa hilang nafas dapat sembuh dengan segera.

“Kalau selama ni ada salah atau silap dari Sajat, Sajat mohon maaf. Sebab sekarang ini Sajat sendiri tengah diuji. Hampir dua minggu batuk kering, makan pun muntah dan keadaan badan tidak menentu.

“Hingus dan kahak tak berhenti. Kadang-kadang rasa kuat. Tetapi kadang-kadang rasa hilang nafas. Sajat cuma minta satu iaitu doa dari kalian,” kata personaliti media sosial itu dalam hantaran tersebut.

Dalam perkongsian sama, Sajat mengakui masalah batuk dialaminya memang sangat sakit sehingga membuatkan hatinya luluh selain berterima kasih kepada mereka yang masih berada di sisinya sehingga kini.

Pempengaruh itu pernah meluahkan kesedihan sebelum ini kerana berhadapan ujian berat dalam kehidupannya sehingga perlu tinggal berjauhan dengan keluarga dan dirundung kesunyian.

Terdahulu, usahawan itu dilaporkan menetap di Australia sejak tahun 2021 selepas menjadi buruan pihak berkuasa agama Malaysia susulan didakwa melakukan beberapa kesalahan syariah.

Usahawan itu didakwa oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di atas dua pertuduhan termasuk berpakaian seperti wanita dan memuat naik gambar yang dianggap tidak sopan di akaun Instagram miliknya.

Baca juga: Nur Sajat kongsi gambar waktu kecil, jadi bukti lahir dengan ‘jiwa perempuan’