Orang ramai dinasihatkan untuk lebih berhati-hati agar tidak terpedaya dengan iklan promosi janaan teknologi kecerdasan buatan (AI) membabitkan pendakwah bebas, Ustaz Wadi Annuar.
Perkara itu disampaikan oleh pentadbir akaun Facebook rasmi milik pendakwah berkenaan dengan menegaskan bahawa video promosi terutama melibatkan ubat-ubatan adalah palsu semata-mata.
Malah menurut pentadbir, iklan itu sudah memperdaya seorang warga emas yang menyangka Ustaz Wadi benar-benar menjual ubat mata sehingga sanggup datang dari Perlis untuk membeli produk berkenaan.
Ustaz Wadi juga pernah dihubungi orang ramai untuk mengadu bahawa kualiti produk yang dibeli langsung tidak sama dengan barangan kononnya dipromosikan oleh pendakwah terbabit.
“Seorang nenek tua bertongkat datang jauh dari Perlis ke sekolah Ustaz Wadi kerana ingin membeli ubat sakit mata yang kononnya dijual oleh Ustaz. Nenek itu memberitahu bahawa dia percaya video iklan yang dibuat dengan AI itu adalah benar-benar daripada Ustaz. Padahal ia palsu.
“Kejadian ini sangat menyedihkan kerana menipu dan menganiaya orang tua yang tidak bersalah. Selain itu, ramai juga menghubungi Ustaz Wadi untuk mengadu bahawa produk seperti buah aprikot dibeli mereka tidak sama langsung dengan apa yang dipromosikan.
“Mereka terpedaya dengan video yang nampak seolah-olah Ustaz sendiri bercakap mempromosikan buah aprikot, ubat sakit mata, air Nabi, ubat sakit lutut dan sebagainya,” kata petadbir yang menjelaskan bahawa video tersebut dibuat menggunakan teknologi AI lip-sync.
Pentadbir akaun turut menegaskan bahawa Ustaz Wadi tidak pernah menjual mahupun mempromosikan produk sedemikian meskipun sebahagian daripada barangan itu memang wujud dan sampai ke tangan pembeli.
Semua iklan itu adalah palsu yang dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab dan orang ramai disarankan untuk menyemak dengan sumber rasmi Ustaz Wadi terlebih dahulu sebelum mempercayai sebarang bentuk promosi.
“Kepada pihak yang membuat penipuan ini, ingatlah. Menipu orang lain tidak mendatangkan kebaikan dan keberkatan. Hentikan perbuatan ini dan gunakan tenaga untuk perkara yang bermanfaat. Semoga kita semua belajar dari kejadian ini dan berhati-hati di masa hadapan.
“Selepas baca, sebarkan supaya dapat menyelamatkan lebih ramai lagi daripada menjadi mangsa penipuan,” Ujar pentadbir yang meminta pengikut menghubungi Pihak Media UWA (Ustaz Wadi Annuar) jika menemui video promosi meragukan melibatkan pendakwah itu.
Baca juga: Pekerja asing di Malaysia ada simpanan RM300k dalam bank