Guna kad pengenalan palsu, dua tukang cuci warga Filipina ditahan

Oleh MAISARAH AISYA

Dua wanita warganegara Filipina yang bekerja sebagai tukang cuci ditahan dalam satu Op Kutip dijalankan di sebuah pusat beli-belah dekat Taman Desa Tebrau semalam.

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan penahan dua wanita itu selepas mereka disyaki memiliki dan menggunakan kad pengenalan palsu.

Operasi berkenaan dilaksanakan oleh anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan (BSK) JPN Putrajaya dengan kerjasama BSK JPN Johor.

Kedua-dua wanita, masing-masing berusia 33 dan 53 tahun ditahan ketika pemeriksaan selepas mendapati mereka menggunakan dokumen pengenalan diri yang tidak sah.

Selepas ditahan, mereka kemudian dibawa ke JPN Johor sebelum diserahkan kepada pasukan BSK untuk siasatan lanjut bagi mengesahkan kesahihan dokumen yang digunakan.

Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007), yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda sehingga RM20,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

JPN menjelaskan bahawa operasi seperti ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan agensi tersebut dalam membanteras penyalahgunaan kad pengenalan, terutamanya dalam kalangan warga asing.

Orang ramai turut diseru menyalurkan maklumat berkaitan penggunaan dokumen pengenalan diri palsu bagi membantu memperkukuh keselamatan identiti negara.

Baca juga: Nenek datang dari Perlis nak beli ubat mata Ustaz Wadi Annuar, terperdaya iklan AI