IMF puji ekonomi Malaysia kental, sifatkan prestasi kukuh kerana dasar mantap dan kewangan berhemat

Oleh KIM SYAZIE

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam dapatan terbaharunya memberi respon positif terhadap daya tahan ekonomi negara, menyifatkan Malaysia sebagai kental meskipun berdepan ketegangan dan ketidakpastian dasar perdagangan global.

Institusi kewangan antarabangsa itu berkata, prestasi kukuh Malaysia sebahagiannya mencerminkan dasar ekonomi yang mantap dengan pihak berkuasa mengekalkan dasar makroekonomi dan kewangan yang berhemat.

Ketua Pasukan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bagi Malaysia, Masahiro Nozaki, berkata, perjanjian perdagangan Amerika Syarikat (AS)-Malaysia pada Oktober 2025 telah membantu mengurangkan ketidaktentuan bagi perniagaan dan pengguna di Malaysia.

Namun, ia mengingatkan bahawa landskap global telah berubah, dengan ketidaktentuan global menjadi normal baharu, justeru membina semula penampan makroekonomi Malaysia masih kritikal.

“Daya tahan ekonomi Malaysia dijangka berterusan dalam tempoh terdekat ini, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh.

“IMF mengunjurkan pertumbuhan akan perlahan sedikit daripada 4.6% pada 2025 kepada 4.3% pada 2026, mencerminkan kesan tarif tinggi AS ke atas Malaysia,” katanya memetik Bernama.

Menurutnya, pertumbuhan berdepan risiko negatif berpunca terutamanya daripada faktor luaran.

“Sebagai sebuah ekonomi yang sangat terbuka, kelembapan permintaan luaran boleh menjejaskan Malaysia sekiranya berlaku peningkatan langkah-langkah perlindungan, turun naik pasaran kewangan global dan potensi penurunan ledakan Kecerdasan Buatan (AI),” katanya

Baca juga: “Masuk kedai penuh lalat, bau bunga rampai” – Cat Farish dedah punca kedai isteri ditutup