Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menggerakkan NADI on Wheels (NOW) ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Bukit Setongkol, Pahang bagi menyokong keperluan digital dan kebajikan mangsa yang terjejas akibat bencana banjir.
Ketika ribuan penduduk ditempatkan diPPS, keperluan kepada komunikasi dan maklumat menjadi kritikal.
Justeru SKMM bertindak pantas menyediakan kemudahan Internet percuma, saringan kesihatan asas serta aktiviti Program Perkhidmatan Pintar NADI yang disesuaikan dengan keperluan komuniti setempat.
Inisiatif ini bertujuan memastikan mangsa kekal berhubung, memperoleh maklumat yang tepat serta dapat meneruskan urusan penting walaupun berada dalam situasi bencana.
“Pengoperasian NOW ini dilaksanakan susulan peningkatan bilangan kawasan terjejas banjir serta pengaktifan beberapa PPS di negeri berkenaan.
“Bermula 19 Disember 2025, perkhidmatan NADI on Wheels telah digerakkan ke PPS Bukit Setongkol bagi membantu mangsa banjir, khususnya dari aspek akses digital dan sokongan berasaskan komuniti,” kata SKMM dalam kenyataan.
Dilengkapi dengan satelit Starlink, tenaga solar mudah alih, komputer riba, tablet, projektor serta kemudahan Wi-Fi percuma, NADI on Wheels berperanan sebagai pusat perkhidmatan bergerak yang membawa kemudahan teknologi terus ke lapangan.
Pendekatan ini memastikan kesinambungan akses digital dapat dikekalkan, sekali gus menyokong kesejahteraan komuniti terjejas
NADI on Wheels merupakan inisiatif di bawah SKMM yang berfungsi sebagai platform perkhidmatan bergerak bagi menyediakan capaian Internet serta sokongan kepada komuniti secara terus di lapangan terutamanya kepada golongan rentan, pedalaman dan lokasi yang terkesan akibat bencana.