Orang ramai diingatkan supaya lebih berwaspada dengan taktik baharu sindiket penipuan yang menyamar sebagai individu ingin menghantar kad jemputan perkahwinan melalui WhatsApp sebelum meminta mangsa berkongsi kod pengesahan sekali guna (TAC).
Modus operandi itu dikongsikan oleh pengguna media sosial, Fariz Khalid, yang memuat naik tangkap layar perbualan dipercayai dengan seorang scammer.
Menurut perkongsian tersebut, individu berkenaan pada mulanya menghubungi mangsa menerusi Messenger dan meminta nombor telefon dengan alasan mahu menghantar kad jemputan perkahwinan melalui WhatsApp.
Tidak lama kemudian, mangsa diminta memberikan kod pengesahan yang diterima di telefon dengan alasan ia diperlukan untuk menghantar kad jemputan digital.
Bagaimanapun, Fariz menyedari ia merupakan cubaan penipuan dan sengaja melayan scammer berkenaan sebelum berkongsi pengalaman itu sebagai peringatan kepada orang ramai.
“Tahu tak aku ni paling malas pergi kenduri kahwin, ni lagi lah nak bersusah payah siap kena bagi TAC number untuk dapatkan digital wedding card!
“Aku tak nak pergi lah kenduri kahwin kau tu!” katanya berseloroh.
Fariz turut mengingatkan orang ramai, khususnya golongan warga emas, supaya tidak mudah terpedaya dengan helah sedemikian.
“Mengisi masa terluang layan scammer. Tolong info mak bapa korang okay. Biasa kadang orang tua terkena benda macam ni,” katanya.
Perkongsian itu mendapat perhatian ramai yang mengakui pernah menerima mesej hampir sama, malah ada yang mendakwa ahli keluarga mereka hampir menjadi mangsa.
“Saya ingatkan saya sahaja yang terkena jemputan kahwin minta kod,” komen Rizman.
“Eloklah tu, nak scam orang, tapi diri sendiri tak tahu sistem scam tu berfungsi macam mana, siap kena gula-gula lagi. Sampai ke sudahlah, makan gula-gula sendiri,” komen Shahril.
Baca juga: Gelombang haba makin membimbangkan, Jepun jual ‘peti sejuk manusia’