Pelakon, Puteri Sarah Liyana meminta bekas isteri Nubhan iaitu Dr Afifah Hidayah Tawfek untuk mengawal emosinya dalam menghadapi konflik penceraiannya dengan penyanyi terbabit.
Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Threads, Puteri Sarah menasihati doktor gigi yang mesra disapa sebagai Dr Fie itu agar kekal bertenang dan bertindak dengan bijak bagi mendapatkan keadilan sewajarnya.
Dr Afifah juga disarankan untuk mendapatkan nasihat perundangan dan berbincang dengan peguam terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tindakan berhubung masalahnya dengan bekas suami.
Pelakon drama Andai Itu Takdirnya juga mencadangkan agar Dr Afifah tidak mendedahkan segala perancangan dengan lebih awal selepas ini sebagai langkah persediaan menghadapi pihak lawan di mahkamah.
“Saya percaya peguam anda sekarang adalah peguam saya dahulu, Datuk Akberdin. Dia seorang yang sangat bijak. Duduk dan berbincang dengannya bagaimana untuk kembali dengan bijak. Kawal emosi anda.
“Bertindak dengan bijak. Jangan beritahu apa rancangan anda. Tahu-tahu sudah laksanakan. Biar jadi terkejut dengan pihak yang satu lagi. Semoga berjaya. InsyaAllah, semuanya akan baik-baik sahaja,” kongsinya.
Nasihat itu disampaikan Puteri Sarah menerusi ruangan komen susulan Dr Afifah mendakwa dihalau keluar dari kediaman sendiri tanpa sebarang notis oleh bekas suami iaitu Ahmad Nubhan Ahamad di platform Threads.
Dr Afifah turut memuat naik gambar dan rakaman yang memperlihatkan barangan peribadi termasuklah haiwan peliharaan milik anaknya iaitu hamster dilonggokkan di depan rumah ibu bapanya dalam keadaan tidak terurus.
Puteri Sarah yang sebelum ini berhadapan dengan konflik penceraian dengan bekas suami iaitu pengarah sensasi, Syamsul Yusof mengaku memahami perasaan Dr Afifah namun berharap wanita itu bertindak dengan bijak.
“Memang sakit hati sangat. Saya tahu, tetapi kita haruslah bertindak dengan bijak dan merancang secara berhati-hati. Bekerjasama rapat dengan peguam. Awak perlu bertindak di luar kotak. Fikirkan banyak kemungkinan
“Itulah yang saya buat sebelum ini. Perlu ada rancangan A, B, C, D, dan E. Awak perlu tahu siapa pihak lawan. Masalah ini seperti bermain catur. Anda perlu tahu apa langkah seterusnya TANPA pihak lawan ketahui,” jelasnya.
Sekadar info, Dr Aififah mendirikan rumah tangga dengan Nubhan pada 29 Ogos 2015 sebelum sah bercerai talak dua pada 2 Disember lalu di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, Selangor.
Hasil perkongsian hidup selama 10 tahun, pasangan itu dikurniakan dengan kehadiran tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8, Ahmad Aafan, 6, dan Afzan Nayille yang kini berusia 3 tahun.
Baca juga: Wanita buat siaran langsung TikTok depan jenazah suami