Anwar mahu rakyat tingkat kemahiran, jangan terjebak dalam politik kebencian

Oleh MALAYSIADATELINE

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia agar terus meningkatkan kemahiran dan mengamalkan budaya pembelajaran sepanjang hayat sebagai persediaan menghadapi cabaran masa depan.

Menerusi hantaran di media sosial, Anwar berkata demikian ketika merasmikan Majlis Kemuncak National Training Week (NTW) 2026 di Pulau Pinang yang menghimpunkan golongan belia, pekerja, majikan serta pelbagai pihak berkepentingan dalam usaha memperkasa pembangunan modal insan negara.

Menurut beliau, meskipun Malaysia terus mencatat pelbagai pencapaian yang membanggakan, rakyat tidak seharusnya leka atau terlalu cepat berpuas hati.

“Kita mesti berpegang kepada semangat itqan fil amal dengan berusaha menjadi lebih baik daripada semalam, memperkukuh disiplin, meningkatkan kemahiran dan sentiasa mengejar kecemerlangan

“Saya turut mengingatkan bahawa masa depan Malaysia tidak mungkin terbina di atas politik kebencian yang memecah-belahkan rakyat.

“Negara ini hanya akan benar-benar maju apabila setiap anak Malaysia, tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang, diberi peluang untuk berjaya serta menyumbang kepada kemakmuran negara,” ujar beliau dalam hantaran di media sosial.

Sehubungan itu, katanya, Kerajaan MADANI akan terus memperluaskan peluang latihan, reskilling dan upskilling bagi membolehkan lebih ramai rakyat memperoleh pekerjaan yang lebih baik serta menikmati pendapatan yang lebih tinggi.

Anwar turut menegaskan komitmen kerajaan untuk memperkukuh tatakelola dan meneruskan agenda reformasi supaya hasil negara dimanfaatkan demi kebajikan rakyat, bukannya disalahgunakan untuk kepentingan diri, keluarga atau kroni.

Beliau berkata, dengan iltizam, kerja keras dan perpaduan seluruh rakyat, Malaysia berpotensi muncul sebagai negara maju yang disegani di peringkat antarabangsa.

“Selagi kita berpegang kepada ilmu, kemahiran dan integriti, tiada cita-cita yang terlalu tinggi untuk kita capai bersama, insya-Allah,” katanya.

Baca juga: PM Anwar bangga dengan Aliff Rakib, rakyat Malaysia pertama raih juara dunia ONE Championship