PM Anwar bangga dengan Aliff Rakib, rakyat Malaysia pertama raih juara dunia ONE Championship

Oleh MALAYSIADATELINE

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada atlet Muay Thai Negara, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib atas kejayaannya melakar sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama muncul juara dunia ONE Championship.

Menurut Anwar, kejayaan itu bukan sekadar mengharumkan nama negara malah turut membuktikan bahawa anak muda Malaysia memiliki keupayaan, keberanian dan iltizam untuk bersaing serta mencipta kejayaan di pentas dunia.

Kemenangan Iman Aliff Rakib itu diraikan Anwar menerusi perkongsian dimuat naik di platform Facebook dengan harapan agar perjuangan atlet terbabit dijadikan inspirasi terutamanya dalam kalangan anak muda Malaysia.

“Semoga pencapaian bersejarah ini menjadi inspirasi kepada lebih ramai anak muda untuk terus mengejar cita-cita dengan tekad, disiplin dan semangat juang yang tinggi.

“Yakinlah, tiada yang mustahil apabila usaha disertai kesungguhan dan tawakal. Syabas, Aliff. Malaysia berbangga dengan kejayaan ini,” kata pemimpin nombor satu negara itu menerusi hantaran di akaun Facebook miliknya.

Terdahulu, Iman Aliff Rakib mengharumkan nama negara apabila muncul sebagai juara dunia interim Muay Thai Strawweight ONE Championship selepas menewaskan wakil Thailand Sam-A Gaiyanghadao, semalam.

Atlet berusia 22 tahun itu menamatkan pertarungan dengan bekas juara dunia dua kategori ONE Championship itu menerusi kemenangan knockout’ pada pusingan kelima dalam aksi yang berlangsung di Stadium Lumpinee, Bangkok, semalam.

Selain berjaya melakar sejarah negara, Iman Aliff Rakib turut membawa pulang bonus kemenangan termasuk wang berjumlah USD50,000 (sekitar RM204,565) bersama tali pinggang kejuaraan.

Baca juga: PM Anwar seru rakyat sokong atlet Muay Thai, Ahmad Nor Iman Aliff rebut gelaran dunia