Isteri mengesot keluar bilik air, suami tendang kena parut czer ketika mandikan anak

Oleh WAN SITI AMINAH

Perkongsian seorang wanita mengenai kejadian dirinya dikasari oleh suami ketika berada di dalam bilik air telah berjaya mencuri perhatian ramai pengguna media sosial baru-baru ini.

Mana tidaknya, konflik di antara mereka berdua dikatakan berpunca daripada kesalahan sang suami namun isterinya pula yang menjadi mangsa kekasaran sehinggakan tidak dapat berjalan dengan baik selama tiga hari.

Namun perkara lebih menyayatkan hati adalah kejadian itu berlaku di hadapan anak mereka yang masih kecil dan tidak berdosa sebelum bertindak meninggalkan sahaja isterinya di tandas dalam keadaan kesakitan.

Difahamkan, pasangan suami isteri terbabit sudah rasmi bercerai namun pengalaman hitam berkenaan kembali mengantui ibu tunggal itu susulan penularan rakaman melibatkan wanita lain yang mengalami nasib sama.

“Bekas suami tendang aku di perut dekat tempat bekas luka bedah caesarean (untuk lahirkan anak). Dia tendang pakai kasut baru yang tajam itu sebelum nak keluar kerja. Punca sebab dia kantoi masih lagi berhubungan dengan penyondol.

“Cuma aku tiada video sebab tak sempat nak rakam. Dia tendang dalam bilik air ketika aku mandikan anak kami. Sampai terperosok aku dekat tepi singki. Kepala aku ini bengkak ya, kena singki. Perut sakit sangat sampai tak boleh bangun langsung.

“Anak aku yang tidak tahu apa masa itu dalam keadaan tak berbaju dalam tandas. Aku minta dia ambil lampin pakai buang sendiri sebab risau dia terkencing selepas mandi. Sambil mengesot dekat lantai, aku ambil telefon untuk hubungi mak tiri,” kongsinya.

Perkongsian itu dimuat naik di platform Threads susulan penularan rakaman memaparkan pertengkaran bekas pasangan suami isteri berhubung isu nafkah di kawasan perumahan Taman Scientex Kundang Jaya, Gombak.

Dalam perkongsian yang sama, ibu tunggal terbabit turut meluahkan rasa kesal kerana bekas suaminya itu masih tidak dikenakan sebarang tindakan selepas tampil membuat laporan kepada pihak polis.

“Dekat dua jam aku menahan kesakitan. Anak terkebil-kebil tengok aku menangis tahan sakit. Dia belum banyak mulut nak bertanya masa itu. Bekas suami tinggalkan aku dan anak tanpa ihsan dan belas kasihan. Dia terus pergi kerja, tak telefon langsung selepas tendang aku.

“Selepas umi ambil dekat rumah, terus bawa aku ke balai polis buat laporan. Aku guna sehabis daya panjat tangga balai itu dengan perut yang mencucuk sakit. Selepas buat laporan, terus pergi hospital. Sampai sahaja, aku terus beri MyKad dan laporan polis. Aku dibawa ke bilik khas.

“Doktor periksa dan sahkan aku ada kecederaan pada tisu lembut. Doktor beri ubat tahan sakit sebab nampak aku berpeluh menahan kesakitan. Tetapi sampai sekarang bekas suami tidak diambil tindakan,” ujarnya berharap perkongsian itu mendapat perhatian pihak berkuasa.

Baca juga: Hargai pengorbanan ibu, Uyaina Arshad hadiahkan emas setiap tahun