Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mungkin akan tetap menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun memperoleh kemenangan bersama Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya (PRN) Negeri Sembilan kali ini.
Menurut bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, kemenangan BN-PN akan mencetuskan tekanan daripada pemimpin kedua-dua parti agar Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri itu menarik sokongan dan menjatuhkan kerajaan dengan berusaha mendapatkan dukungan Sabah dan Sarawak.
Khairy bagaimanapun menduga bahawa Zahid tidak akan terburu-buru mengambil tindakan sedemikian memandangkan beliau berada dalam kedudukan politik yang lebih menguntungkan jika terus bersama Anwar dan boleh menggunakan menfaat tersebut untuk kepentingan parti BN.
“Mengapa perlu terburu-buru sedangkan beliau (Zahid) kini mempunyai Anwar, tepat di kedudukan yang diinginkannya. Beliau boleh mengambil pendekatan untuk berkata kepada rakyat bahawa BN tidak akan menarik sokongan kerana menghormati keadaan dunia yang masih bergolak.
“Termasuk dalam krisis di Selat Hormuz, konflik di Timur Tengah atau Asia Barat, serta perkembangan melibatkan Amerika Syarikat dan Iran. Pada masa sama, beliau boleh menampilkan BN sebagai gabungan yang pragmatik dan profesional. BN boleh bertanding menentang Pakatan Harapan (PH) di peringkat negeri.
“Tetapi pada masa sama, beliau masih menjalankan tanggungjawab sebagai Timbalan Perdana Menteri dan memainkan peranan sebagai parti yang bertanggungjawab dalam kerajaan Madani,” kata Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau itu dalam program audio siar atau ‘podcast’ Keluar Sekejap kendalian beliau.
Komen tersebut dibuat Khairy selepas pengendali bersama program itu iaitu bekas Naib Ketua Pemuda Umno, Shahril Hamdan bertanya sama ada kerjasama BN-PN boleh mencetuskan Pilihan Raya Umum (PRU) lebih awal dan mengapa Anwar kekal tenang walaupun PH diserang secara terbuka oleh pemimpin BN.
Baca juga: PM Anwar sampai agenda pemerkasaan masyarakat India, jamin tiada kelompok tercirir