Sebuah syarikat di Jepun memperkenalkan inovasi unik berupa ‘peti sejuk manusia’ bagi membantu orang ramai menyejukkan badan dengan pantas ketika negara itu berdepan gelombang haba yang semakin ekstrem.
Peranti dikenali sebagai Do Hiemon Box itu dibangunkan oleh pengeluar sistem penyejukan dan mesin layan diri, SDRS, sebelum dipasarkan oleh pembekal peralatan industri Trusco Nakayama.
Menurut agensi berita United Press International, kotak penyejuk itu bersaiz hampir sama dengan mesin layan diri yang biasa ditemui di Jepun dan mampu memuatkan seorang pengguna pada satu-satu masa.
Suhu di dalam kotak dikekalkan sekitar 15 darjah Celsius (59 darjah Fahrenheit).
Sebaik sahaja pengguna berada di dalamnya, udara sejuk akan ditiup ke bahagian kepala, leher, bahu dan belakang bagi membantu menurunkan suhu badan dengan cepat.
Menurut syarikat itu, Do Hiemon Box direka untuk membantu melegakan simptom keletihan akibat cuaca panas (heat exhaustion), terutama bagi individu yang bekerja di kawasan terbuka seperti tapak pembinaan.
Ia turut disasarkan untuk digunakan di premis perniagaan dan ruang awam sebagai langkah mengurangkan risiko masalah kesihatan ketika musim panas.
Salah satu unit pertama telah disumbangkan kepada Dewan Bandaraya Maebashi di Wilayah Gunma, dengan orang ramai dibenarkan menggunakannya secara percuma sepanjang waktu operasi.
Jepun kini berdepan cuaca panas melampau apabila suhu di beberapa kawasan mencecah hampir 38 darjah Celsius (100 darjah Fahrenheit) dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Pada 15 Julai lalu, seramai 48 orang dilaporkan dimasukkan ke hospital di Tokyo akibat strok haba dalam tempoh sehari.
Do Hiemon Box kini dijual pada harga sekitar AS$9,326 (kira-kira RM38,100) dan dijangka menjadi antara penyelesaian baharu bagi mengurangkan risiko kesihatan akibat cuaca panas yang semakin kerap melanda Jepun.
Baca juga: “Ini tempat parking saya” – Wanita kena ‘sound’ lepas parkir di petak kosong