Bukan main hidang dalam kotak siap aksi ‘bakar-bakar’, sekali ada 3 cucuk sate sahaja

Oleh WAN SITI AMINAH

Satu rakaman memaparkan ‘persembahan’ melibatkan juadah sate dipercayai dihidangkan di sebuah restoran mewah di Kuala Lumpur telah berjaya mengundang perbincangan hangat di media sosial, baru-baru ini.

Mana tidaknya, juadah tersebut dihidangkan dengan cara cukup istimewa dengan diletakkan di dalam sebuah kotak ditutup menggunakan sehelai kain nipis dipercayai untuk memberikan elemen kejutan kepada pelanggan.

Kotak berkenaan kemudian dibuka oleh pekerja restoran yang kemudian membakar kain dengan menggunakan pemetik api di atas meja pelanggan untuk mendedahkan juadah berada di dalamnya.

Namun perkara yang mencuri perhatian ramai pengguna media sosial bukanlah kaedah unik digunakan oleh pihak restoran untuk menghidangkan juadah namun reaksi terkejut pelanggan serta kuantiti sate disediakan.

“Apa ini? Kepala bapak, ini sate. ‘Pattern’ RM50. Makanan dekat dalam RM3,” kata pelanggan itu dalam keterangan video dimuat naik di platform TikTok untuk berkongsikan pengalaman berkunjung ke restoran berkenaan.

Setakat artikel ini ditulis, rakaman tersebut sudah berjaya meraih sebanyak 1.2 juta tontonan dan 75,200 tanda suka daripada pengguna TikTok yang mana rata-ratanya turut terkejut melihat kuantiti hidangan.

Ramai pengguna turut terhibur dengan reaksi pelanggan selain bersetuju bahawa kuantiti juadah itu ‘melawan hukum’ masyarakat Malaysia yang selalunya menyantap sate mencecah puluhan cucuk sekali makan.

“Dengan rakyat Malaysia, kau jangan mencuba-cuba nak hidang sate setakat tiga cucuk. Sekurang-kurangnya kami makan 10 cucuk sate ayam dan 10 cucuk daging,” kata seorang pengguna.

“Bukan main lagi hidang macam makanan mahal-mahal. Akhirnya ada tiga cucuk sate, nasi impit dua ketul dan timun tiga ketul.” Tulis pengguna lain memberikan komen berhubung kuantiti hidangan.

Baca juga: Lambat sedar, wanita kecewa RM500 SARA dalam IC suami sudah ‘burn’