Laporan RCI TH Tidak Diterbitkan Tiga Tahun Lepas Elak Kehilangan Keyakinan Rakyat – Anwar

Oleh BERNAMA

Laporan Suruhanjaya Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) tidak diterbitkan tiga tahun lepas kerana kerajaan mahu mengelakkan rakyat daripada hilang keyakinan terhadap agensi berkenaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendedahan laporan berkenaan pada ketika itu dikhuatiri boleh mencetuskan panik dalam kalangan pendeposit sehingga menyebabkan pengeluaran dana secara beramai-ramai yang berisiko melumpuhkan TH.

“Pada masa itu, tiga tahun lalu, kita tak mampu nak terbitkan. Kalau kita terbitkan, rakyat hilang keyakinan terhadap TH dan mereka tarik dana.

“Namun, sejak tiga tahun lalu pengurusannya bertukar di bawah Pengerusi Tan Sri Abdul Rashid Hussain yang mempunyai rekod pengurusan cemerlang. Tabung Haji kini kembali kukuh bertapak tetapi rakyat tetap perlu tahu,” kata beliau ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di sini hari ini. 

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Malek Razak Sulaiman dan Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Azhan Md Othman.

Anwar berkata ketegasan Kerajaan MADANI dalam menangani isu penyelewengan dan menitikberatkan tatakelola adalah bagi memastikan institusi yang memegang amanah rakyat, khususnya umat Islam dan komuniti peneroka tidak terus terancam.

Perdana Menteri turut berkongsi perkembangan positif mengenai pemulihan institusi itu apabila dimaklumkan bahawa TH telah dianugerahkan Pengurusan Haji Terbaik bagi musim haji tahun ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung Amanah Muhammad Faiz Fadzil, Naib Pengerusi Kebangsaan DAP Syahredzan Johan dan Timbalan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Shafi Muhammad dalam kenyataan bersama berkata Kabinet wajar membincangkan dan membuat keputusan sama ada laporan RCI itu boleh didedahkan kepada umum.

“Pakatan Harapan (PH) berpandangan ia penting demi kepentingan awam serta prinsip ketelusan dan akauntabiliti.

“Rakyat berhak mengetahui fakta sebenar agar segala persoalan yang berbangkit dapat diperjelas secara tuntas dan berdasarkan laporan rasmi,” kata mereka menerusi kenyataan itu.

Semalam, Anwar berkata kerajaan bersedia mendedahkan laporan akhir RCI berkaitan TH dalam masa terdekat bagi membolehkan rakyat mengetahui hasil siasatan terhadap dakwaan penjualan aset strategik agensi itu.

Perdana Menteri berkata beliau akan meneliti keputusan untuk menerbitkan laporan itu bersama Shamsul Azri.
— BERNAMA

Baca juga: Laporan RCI TH Perlu Jadi Titik Mula Pemulihan Institusi – Muhammad Kamil