Betul ke keluarga ikut Sissy Iman pergi bulan madu? Tuan badan tampil beri penjelasan

Oleh WAN SITI AMINAH

Penyanyi dan pengacara, Sissy Iman kembali mencuri perhatian peminat baru-baru ini selepas memuat naik gambar dan rakaman ketika melancong ke Harbin, China bersama suami serta keluarganya.

Hal ini kerana gambar tersebut dikatakan menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pengikutnya sama ada ahli keluarga turut mengikutnya pergi berbulan madu selepas hampir sebulan mendirikan rumah tangga.

Pemilik nama sebenar Sissy Imann Mohammad Kamil itu mengakui menerima pesanan secara terus (DM) di akaun Instagram daripada peminat yang bertanyakan jika dirinya selesa berbulan madu bersama keluarga.

Namun menerusi perkongsian dimuat naik di Instagram Story itu, Sissy menafikan bahawa percutian berkenaan merupakan perjalanan bulan madu sebaliknya bertujuan untuk meraikan ulang tahun perkahwinan ibu bapanya.

“Sebenarnya Sissy menerima beberapa DM yang berbunyi macam ini, ‘Sissy selesa ke keluaga semua ikut berbulan madu?’ atau ‘Sudah kahwin pun keluarga ikut ke?’. Kalau nak tahu, sebenarnya ini percutian sempena ulang tahun perkahwinan Ayahanda dan Bonda.

“Sekali sambutan awal ulang tahun kelahiran Bonda. Jadi sebenarnya kami yang menyibuk ikut mereka. Mula-mula Sissy dan Zamir (suami) tak ikut pun sebab kami akan melancong juga seminggu selepas perjalanan ke Harbin untuk berbulan madu.

“Tetapi saya kadang-kadang tak mahu berjauhan, tanya Bonda boleh ikut atau tidak. Selepas itu Bonda cakap tanya suami awak. Kita pun beritahu suami. Kebetulan suami kita juga suka jalan. Dia cakap, ‘macam seronok sahaja pergi Harbin,” kongsi Sissy dalam hantaran itu.

Menerusi perkongsian sama, Sissy yang juga merupakan pelakon itu memaklumkan bahawa mereka turut bertuah kerana ibu bapanya bermurah hati untuk membelanjakan tiket penerbangan percutian ke Harbin.

Sehubungan dengan itu, penyanyi yang berusia 30 tahun terbabit memaklumkan bahawa perminat tidak perlulah merasa simpati kerana mereka sekeluarga malah gembira kerana dapat meluangkan masa bersama insan tersayang.

Sekadar info, Sissy Iman dan suami iaitu Dr Zamir Hilman Dr Hamzah, 41, selamat diijabkabulkan pada 12 Disember lalu dalam majlis sederhana namun cukup bermakna di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

Dalam majlis tersebut, penyanyi berkenaan menerima sebanyak tiga bentuk cincin berlian sebagai tanda penyatuan dua jiwa selain mas kahwin berupa seutas gelang emas yang bernilai RM6,840.

Sissy turut menerima nombor plat kereta khas, SIS5795 yang merupakan gabungan simbolik antara namanya dan tahun kelahirannya iaitu 1995 dalam majlis tersebut namun jenis kenderaan dirahsiakan.

Baca juga: Jualan borong dan runcit terus rancak, SARA RM100 antara pemangkin