Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali mencuri perhatian ramai dengan berkongsi serangkap pantun di tengah persaingan hangat antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Facebook, Anwar yang juga Pengerusi PH itu merangkai pantun mengenai nilai persahabatan dan muafakat untuk kekal sehaluan walaupun berbeza ‘langkah’.
Anwar yang juga Menteri Kewangan itu turut berkongsi beberapa gambar dalam hantaran tersebut termasuk bersama timbalannya merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Berikut adalah pantun empat kerat yang dirangkai oleh pemimpin nombor satu negara itu;
Burung merbah terbang sekawan,
Guruh berdentum membelah awan,
Berbeza langkah, jangan putus kawan,
Selagi muafakat, kita sehaluan.
Terdahulu, hubungan PH dan BN menjadi tumpuan apabila ‘sahabat’ dalam Kerajaan Perpaduan itu bertanding secara berasingan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Walaupun hubungan tersebut dilaporkan masih kekal stabil di peringkat Persekutuan, namun perbezaan pendapat dan pelbagai gesaan yang timbul terutamanya apabila menjelang PRN sudah tentunya mencetuskan ketegangan.
Terdahulu, Anwar memberikan peringatan kepada mereka yang memegang jawatan kerajaan untuk tidak menggunakan kedudukan untuk menyerang rakan dalam Kerajaan Persekutuan ketika kempen PRN.
Beliau juga menegaskan bahawa pihak yang memegang jawatan dalam pentadbiran kerajaan tertakluk pada disiplin dan mereka seharusnya berundur daripada kedudukan tersebut sekiranya tetap memilih untuk melanggarnya.
Zahid kemudian memberi maklum balas bahawa Anwar selaku Perdana Menteri boleh memecat beliau dan menteri BN lain jika tidak menyukai mereka, namun menyifatkan bahawa mereka tidak memiliki sebab untuk meletakkan jawatan.
Sekadar info, PH bertanding di kesemua 36 kerusi DUN dalam PRN Negeri Sembilan kali ini manakala BN mempertaruhkan 25 calon dengan membentuk persefahaman bersama Perikatan Nasional (PN) yang menghantar 11 wakil.
Baca juga: “Semuanya bocor…” Khairul Aming tak tunggu lama, terus hantar LOD dan buat empat laporan