“Semuanya bocor…” Khairul Aming tak tunggu lama, terus hantar LOD dan buat empat laporan

Oleh MALAYSIADATELINE

Pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Aming memaklumkan dia sudah mengambil tindakan undang-undang susulan insiden kebocoran data peribadinya yang didakwa melibatkan pelbagai maklumat sensitif.

Menerusi hantaran di Threads, Khairul Aming berkata peguamnya telah menghantar Letter of Demand (LOD) kepada Maxis, selain beberapa laporan rasmi turut dibuat kepada pihak berkuasa bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Menurutnya, laporan rasmi telah dikemukakan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, serta Suruhanjaya Perlindungan Data Peribadi (SPDP).

“Peguam saya telah pun hantar LOD kepada Maxis. Laporan rasmi telah dibuat kepada MCMC.

“Laporan polis telah dibuat di IPD Dang Wangi untuk buka siasatan ke atas pelaku. Laporan kebocoran data telah dibuat kepada SPDP,” katanya.

Khairul Aming berkata, peguam-peguamnya akan mengendalikan kes berkenaan sehingga selesai bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil.

Malah dia mengakui berasa sedih dan marah susulan kejadian itu kerana pelbagai maklumat peribadi didakwa telah terdedah.

“Sejujurnya rasa sedih dan seram sebab semua data privasi hidup boleh hilang. Details telefon, payment history, subscription, sampai ke no IC boleh akses MySara, semuanya bocor,” katanya.

Sebelum ini, Khairul Aming mendedahkan berlaku kebocoran data yang didakwa melibatkan maklumat peribadinya, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan orang ramai mengenai aspek keselamatan data dan privasi digital.

Baca juga: Isu data Khairul Aming makin serius, Fahmi arah MCMC siasat segera