Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan menghantar surat rasmi kepada Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berhubung peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Menurut Bekas Ahli Majlis Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, surat berkenaan dihantar untuk menggesa pihak ROS memantau dan memastikan semua prosedur berkaitan peletakan jawatan tersebut benar-benar dipatuhi.
Hal ini berikutan wujudnya dakwaan melibatkan orang-orang di sekeliling Muhyiddin yang dikatakan mencuba untuk melobi parti-parti komponen PN supaya menolak perletakan jawatan pemimpin itu menjelang Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) gabungan berkenaan.
Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Facebook, Wan Saiful memaklumkan bahawa perkara ini termasuk cubaan menyembunyikan surat terima kasih daripada pihak parti Pas kepada Muhyiddin atas sumbangannya ketika berkhidmat sebagai Pengerusi PN.
Surat berkenaan didakwa disembunyikan kerana secara prinsipnya, dokumen tersebut boleh ditafsirkan sebagai penerimaan pihak Pas berhubung perletakan jawatan Muhyiddin selepas lima tahun mengetuai gabungan itu yang berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.
“Ada beberapa orang penjilat yang giat berjumpa sana sini sejak beberapa hari lalu. Mungkinkah mereka rasa Muhyiddin sudah tak ada rasa malu untuk membuat pusingan U lagi sekali? Lagipun Muhyiddin kan memang sudah biasa buat pusingan U.
“Apa pun, mesyuarat MT PN nanti adalah penting untuk masa depan pembangkang di Malaysia. Sebab itulah amat penting agar semua prosedur dipatuhi. Saya harap ROS akan perhatikan gerak geri Muhyiddin dan penjilatnya,” katanya dalam perkongsian tersebut.
Sehubungan dengan itu, Wan Saiful juga memaklumkan bahawa turut timbulnya persoalan sama ada Muhyiddin masih boleh mempengerusikan mesyuarat MT tersebut memandangkan agenda utamanya adalah untuk mengesahkan perletakan jawatannya sebagai Pengerusi.
Wan Saiful berpandangan bahawa mesyuarat itu lebih sesuai untuk dipengerusikan oleh salah seorang Timbalan Pengerusi bagi mengelakkan isu ‘conflict of interest’ atau konflik kepentingan sekiranya tetap dikendalikan oleh Bekas Perdana Menteri berkenaan.
“Mengesahkan perletakan jawatan Pengerusi harus menjadi agenda pertama mesyuarat MT PN akan datang. Kalau Muhyiddin masih nak hadir juga, apabila perletakan jawatan disahkan sebelum masuk agenda kedua, beliau perlu keluar mesyuarat.
“Mereka (penyokong) sudah ‘desperate‘ (terdesak) mahu Muhyiddin kekal. Oleh itu, hari ini saya menghantar surat rasmi kepada Ketua Pengarah ROS, Datuk Mohd Zulfikar Ahmad supaya memastikan mesyuarat mematuhi prosedur.” Ujar Bekas Ketua Penerangan Bersatu itu.
Baca juga: Plat kenderaan asing isi RON95 di Sungai Petani, pekerja siap tolong isikan