SPRM sita barang mewah RM2.2 juta, jumpa 23 jam tangan Rolex di rumah bekas pegawai tentera darat 

Oleh KIM SYAZIE

Aset mewah bernilai lebih RM2.2 juta telah ditemui di sebuah kediaman milik isteri kedua kepada seorang bekas pegawai tertinggi Tentera Darat.

Penemuan itu susulan penggeledahan dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.

Menurut laporan media, SPRM menjumpai dua bagasi yang dipercayai digunakan untuk menyimpan barangan itu.

“Hasil pemeriksaan menemui 23 unit jam tangan jenama Rolex pelbagai model dengan anggaran nilai pasaran semasa berjumlah kira-kira RM2 juta.

“SPRM turut menyita beberapa barangan kemas milik seorang individu yang dipercayai bersubahat dianggarkan bernilai kira-kira RM225,000,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan SPRM menyita emas, kenderaan utiliti sukan berprestasi tinggi (SVR) dan wang tunai pelbagai mata wang asing dianggarkan bernilai kira-kira RM6.9 juta susulan siasatan projek tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM).

Sumber berkata, wang tunai yang disita itu meliputi nilai dalam mata wang Dolar Amerika Syarikat (USD), Euro, Pound, Yen (Jepun), dan Riyal (Arab Saudi).

Baca juga: Pembantu rumah larikan barang kemas, tinggal 2 anak majikan lepas sebulan kerja