Pernah mencuri perhatian ramai dua tahun lalu apabila tersalah menghantar anak ke sekolah lain, pelawak Shahrol Shiro sekali lagi berdepan situasi hampir sama tahun ini.
Berbekalkan pengalaman lalu, Shahrol tampil lebih yakin selepas menyemak nama sekolah serta lencana pada pakaian anak sulungnya, Rifqi, dengan harapan kejadian memalukan itu tidak berulang buat kali kedua.
“Lencana tengok Iqi (Rifqi), ayah (Shahrol) tak salah eh. Hari ini saya tak salah hantar anak pergi sekolah,” ujarnya dalam video dimuat naik di media sosial.
Walaupun yakin sudah menghantar anaknya ke sekolah yang betul, Shahrol langsung tidak menyangka momen seterusnya apabila anaknya memandang beg sekolah yang dibawa.
“Ayah tapi yang ini beg sekolah agama,” ujar anaknya yang menyebabkan Shahrol terkejut.
View on Threads
Menerusi Threads, isteri kepada Shahrol iaitu Nor Farhanah Syamimi berkongsi bahawa kejadian itu adalah benar malah berseloroh risau anak keduanya akan bersekolah juga tahun depan.
“Tolong lah aku, akulah salah sebab tak bagi taklimat tentang bag. Aku stress (tertekan) sekarang ni. Tahun depan Ismail sekolah tahun satu, apa masalah akan datang.
“Aku kena belajar terima dari sekarang,” kongsinya di Threads.
Rata-rata warganet terhibur dengan kelakuan Shahrol malah ada yang memaklumkan minggu pertama persekolahan biasanya tiada Proses Pengajaran dan Pembelajaran (PnP).