Aireena Sofia minta doa yang terbaik, sah bercerai dengan Haqiem Stopa – “Dia tetap ayah Hud”

Oleh MALAYSIADATELINE

Konflik perkahwinan pasangan pempengaruh, Haqiem Stopa dan Aireena Sofia akhirnya menemui titik noktah apabila mereka disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Darat, Rawang, Selangor.

Khabar penceraian itu disampaikan oleh Aireena sendiri menerusi perkongsian gambar bersama peguamnya di kawasan mahkamah berkenaan yang dimuat naik di akaun Threads miliknya pada Selasa.

Menerusi perkongsian tersebut, Aireena yang lebih mesra disapa peminat sebagai Jane itu meluahkan rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana segala urusan dihadapinya pada hari ini dipermudahkan.

Wanita berusia 22 tahun terbabit turut meminta orang ramai untuk mendoakan yang terbaik buat dirinya dan anak dalam usaha memperbaiki diri serta meneruskan kehidupan selepas penceraian.

“Alhamdulillah, Allah permudahkan segala urusan. Saya sudah berpisah dengan si dia (Haqiem) pada hari ini, 13 Januari 2026. Saya tiada apa-apa yang ingin disampaikan. Doakan yang terbaik untuk saya dan Hud (anak).

“Apa-apa pun, dia tetap ayah kepada Hud. Perbaiki diri dan teruskan melangkah ke hadapan demi masa depan anak,” kata wanita itu menerusi siri perkongsian dimuat naik di akaun Threads miliknya.

Terdahulu, Aireena melangsungkan perkahwinan dengan pemilik nama sebenar Muhammad Sadzri Hakim Jaafar itu pada 11 Oktober 2024 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Hud yang kini berusia lima bulan.

Rumah tangga mereka bagaimanapun dilanda konflik malah meraih perhatian ramai apabila Aireena bertindak memfailkan permohonan cerai terhadap Haqiem yang berusia 27 tahun itu pada 4 November tahun lalu.

Isu menjadi semakin hangat apabila kemelut hubungan mereka dikatakan berpunca daripada kehadiran orang ketiga dengan Aireena mendakwa bahawa suaminya itu sudah beberapa kali berlaku curang.

Aireena turut mendakwa Haqiem yang pernah diangkat sebagai ikon permotoran negara itu memiliki hubungan istimewa dengan seorang gadis berusia 18 tahun malah dikatakan sempat berdua-duaan di dalam satu bilik.

Baca juga: Terlepas pandang bayaran jurusolek sejak 2019, Mimi Lana tampil mohon maaf