Silap langkah boleh jejaskan pasaran China, KPKM minta pemain industri patuh protokol eksport durian

Oleh MALAYSIADATELINE

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengingatkan semua pemain industri durian supaya terus mematuhi syarat serta Protokol Keperluan Fitosanitari yang sedang berkuat kuasa bagi pengeksportan durian segar ke China.

Kementerian turut menegaskan pemain industri tidak seharusnya menggunakan sebarang kaedah baharu yang belum mendapat kelulusan rasmi kerana ia berisiko menjejaskan akses pasaran negara ke China.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata, pematuhan terhadap protokol yang dipersetujui antara Kerajaan Malaysia dan Pentadbiran Am Kastam Republik Rakyat China (GACC) amat penting.

Ini adalah untuk memastikan akses pasaran China yang diperoleh hasil rundingan selama bertahun-tahun terus dikekalkan.

“Kita tidak boleh mengambil risiko yang boleh menjejaskan keyakinan pihak berkuasa China terhadap sistem kawal selia Malaysia.

“Apa-apa kaedah baharu yang belum dipersetujui atau tidak selaras dengan protokol sedia ada tidak seharusnya dilaksanakan secara unilateral kerana implikasinya bukan sahaja kepada syarikat terbabit, malah boleh menjejaskan keseluruhan industri durian negara,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Sesi Libat Urus Bersama Pemegang Taruh Industri Durian Mengenai Cadangan pre-cut Durian Eksport ke China di Wisma Tani, Putrajaya pada Jumaat.

Menurut Chan, industri durian merupakan antara subsektor agromakanan bernilai tinggi negara yang terus mencatat pertumbuhan memberangsangkan. Pada tahun 2025, Malaysia merekodkan eksport durian bernilai RM1.10 bilion melibatkan 45,266 tan metrik ke pasaran global.

Katanya, China kekal sebagai destinasi eksport terbesar dengan nilai RM868.09 juta atau hampir 79 peratus daripada keseluruhan nilai eksport durian negara.

Beliau berkata pembukaan akses pasaran durian segar ke China pada 2024 merupakan satu pencapaian penting hasil rundingan panjang antara kedua-dua negara dan tertakluk sepenuhnya kepada Protokol Keperluan Fitosanitari yang dipersetujui bersama.

Mengulas cadangan penggunaan kaedah pre-cut, Chan berkata KPKM mengambil maklum pandangan daripada sebahagian pemain industri yang berpendapat kaedah itu berpotensi memanjangkan jangka hayat produk, mengurangkan kos logistik serta memperluaskan pilihan penghantaran ke pasaran China.

Namun, katanya, kementerian juga perlu mengambil kira kebimbangan pelbagai pihak berkaitan pematuhan protokol, kawalan kualiti, keselamatan makanan dan keberkesanan produk.

“Perkara ini juga berkait rapat dengan reputasi durian Malaysia sebagai durian gugur matang (tree-ripened) yang selama ini menjadi identiti premium negara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan bahawa Jabatan Pertanian menerusi kenyataan media bertarikh 2 Julai 2026 telah menjelaskan pengeksportan durian segar melalui laluan darat yang melibatkan transit ke negara lain adalah di luar skop Protokol Keperluan Fitosanitari yang sedang berkuat kuasa.

Justeru, kaedah tersebut tidak dibenarkan sehingga sebarang pindaan atau protokol baharu dimuktamadkan serta dipersetujui oleh Kerajaan Malaysia dan Pentadbiran Am Kastam Republik Rakyat China (GACC).

Beliau turut memaklumkan Pejabat Perwakilan Pertanian (ACO) Beijing baru-baru ini mengadakan perbincangan dengan pihak GACC yang menegaskan protokol sedia ada masih terpakai sepenuhnya dan tiada laluan darat dibenarkan bagi pengeksportan durian segar ke China.

“Saya ingin menasihatkan semua pemain industri supaya terus mematuhi syarat dan protokol yang sedang berkuat kuasa.

“Jangan mengambil jalan yang berada di luar skop kebenaran atau cuba mendahului proses yang belum dipersetujui oleh kedua-dua kerajaan.

“Sebarang perubahan kepada kaedah pengeksportan hendaklah melalui saluran rasmi dan hanya boleh dilaksanakan selepas mendapat persetujuan Kerajaan Malaysia serta GACC,” katanya.

Chan berkata KPKM akan terus mengamalkan pendekatan terbuka dan berpandukan fakta dalam menilai setiap cadangan daripada industri.

Menurut beliau, kementerian akan meneruskan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan bagi mencari penyelesaian yang praktikal dan seimbang.

Namun keutamaan kekal untuk memastikan kepentingan jangka panjang industri, reputasi durian Malaysia sebagai produk premium serta akses pasaran China yang dibina hasil usaha diplomasi bertahun-tahun tidak terjejas.

Baca juga: PM Anwar lancar Avatar AI, dekati rakyat lebih dekat melalui Dunia MADANI Multiverse