Usahawan dan pempengaruh, Khairul Aming tampil menjelaskan dakwaan tular kononnya ramai pelanggan membatalkan tempahan di Rembayung kerana dia ada urusan di Langkawi.
Menerusi satu kenyataan balas di Threads, Khairul Aming menegaskan bahawa berdasarkan data kehadiran pelanggan pada hari berkenaan, hanya dua individu tidak hadir daripada keseluruhan tempahan yang dibuat.
Jelasnya, Rembayung juga merekodkan jumlah pelanggan dan jualan tertinggi sejak hari pembukaan.
Ini sekali gus menepis dakwaan bahawa kehadiran pelanggan terjejas kerana beliau tidak berada di lokasi.
“Berdasarkan data semalam, cuma dua orang tak datang. Di Umai, seramai 503 pelanggan membuat tempahan dan 501 hadir, iaitu kadar kehadiran sebanyak 99.6 peratus,” jelasnya.
“Semalam kami dapat pelanggan paling ramai dan jualan paling tinggi sejak hari pembukaan,” katanya.
Dalam pada itu, Khairul Aming atau KA memaklumkan pihak pengurusan kini sedang meningkatkan kapasiti pelanggan secara berperingkat.
Pihaknya meletakkan sasaran 550 pelanggan pada keesokan hari dan 600 pelanggan sehari selepas itu.
Walaupun tidak berada di restoran ketika itu, dia menegaskan bahawa kakitangan telah dilatih sepenuhnya bagi memastikan pengalaman pelanggan sentiasa terjaga.
“Harapnya minggu depan kami sudah boleh beroperasi pada 80 peratus kapasiti.
“Walaupun saya tak ada, kami sudah latih staf untuk betul-betul jaga pelanggan supaya semua yang datang makan berpuas hati,” katanya.
Khairul Aming dilihat menjawab dakwaan seorang individu yang memaklumkan ada yang membatalkan tempahan di restoran milik usahawan berkenaan kerana dirinya ada urusan di tempat lain.
“Khairul Amin pergi Langkawi. Ramai yang nak batalkan tempahan. Sanggup jual slot kat orang lain.
“Mereka pergi Rembayung nak jumpa KA sebenarnya bukan nak makan sangat pon,” dakwa individu berkenaan.
Baca juga: Aireena Sofia minta doa yang terbaik, sah bercerai dengan Haqiem Stopa – “Dia tetap ayah Hud”