Pendekatan pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan ciri-ciri seorang pemimpin yang benar-benar berilmu dan amanah.
Ketika lawatan kerja Perdana Menteri ke Bentong semalam, Anwar menyentuh beberapa perkara yang menekankan prinsip kepimpinan berasaskan nilai agama.
Ketua Penerangan PKR Pahang, Datuk Dr Suhaimi Abdullah melihat perkara itu sebagai mencerminkan pemerintahan Perdana Menteri yang berpaksikan amanah kepada tuhan dan tanggungjawab kepada rakyat.
“Daripada sekian banyak poin ucapan beliau, saya tertarik untuk membuat sedikit ulasan tentang gaya dan pendekatan pemerintahan Perdana Menteri yang memperlihatkan ciri seorang pemimpin yang benar-benar berilmu, dalam erti kata yang sebenar.
“Perdana Menteri dengan tegas menyatakan bahawa kita ini adalah ibad al-Rahman, hamba Tuhan, bukan hamba manusia dan bukan hamba projek.
“Ini merupakan satu pernyataan yang sangat fundamental. Dalam konteks pemerintahan, ia membawa maksud bahawa keputusan-keputusan kerajaan MADANI tidak dibuat untuk memuaskan kritikan yang tidak membina.
“Tetapi berasaskan amanah kepada Tuhan dan tanggungjawab kepada rakyat,” katanya dalam satu perkongsian di Facebook.
Katanya, sokongan kerajaan terhadap sekolah agama sama ada melalui penyaluran subsidi, penambahan elaun guru KAFA mahupun pembangunan infrastruktur masjid merupakan manifestasi dasar yang berakar daripada nilai ketakwaan, bukannya didorong oleh ketakutan terhadap persepsi atau kritikan pihak tertentu.
“Inilah yang membezakan antara pemerintahan berprinsip dengan pemerintahan yang bersifat gimik politik,” ujarnya.
Dr Suhaimi turut menegaskan bahawa Perdana Menteri bukan seorang pemimpin yang mudah terpengaruh dengan tekanan pihak yang gagal memahami konteks sebenar dasar negara.
Sebaliknya kekal konsisten dengan visi Kerajaan MADANI yang mengintegrasikan nilai-nilai agama dalam pentadbiran negara.
Beliau berkata, keyakinan tersebut turut dizahirkan apabila Perdana Menteri mengulangi ungkapan, ‘Berjalan di muka bumi ini dengan yakin… yakin kerana kita ini hamba Tuhan, yakin berpijak di bumi nyata.’
Menurutnya, keyakinan sedemikian amat penting dalam kepimpinan negara kerana pemimpin yang tidak yakin dengan visinya akan mudah berubah pendirian apabila berdepan tekanan.
“Namun, keyakinan Perdana Menteri bukan bersifat angkuh atau degil, sebaliknya lahir daripada pelaksanaan agenda-agenda besar negara yang memberi kesan langsung kepada rakyat,” katanya.
Antara contoh keputusan besar yang disebut termasuk kenaikan gaji penjawat awam yang melibatkan implikasi kewangan besar, pelaksanaan subsidi bersasar (BUDI) yang pada awalnya menerima kritikan namun membuahkan penjimatan ketara, serta sokongan berterusan terhadap pendidikan agama demi memperkukuh jati diri dan identiti negara.
Jelas beliau, semua keputusan tersebut dibuat dengan keyakinan penuh demi kepentingan jangka panjang negara dan rakyat, bukan sekadar mengikut arus popular.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut menyindir pihak tertentu yang sering mempertikaikan usaha kerajaan, termasuk pembinaan masjid, bantuan kepada sekolah agama dan penambahan elaun guru KAFA.
Jelas beliau, Anwar kemudian merujuk kepada ayat al-Quran “Wa qalu salaman” yang membawa maksud membalas dengan kata-kata yang baik dan sejahtera.
Suhaimi berkata, pendekatan itu membuktikan kematangan kepimpinan Perdana Menteri yang memilih untuk terus bekerja dan melaksanakan agenda kebaikan tanpa terperangkap dalam polemik atau reaksi emosional terhadap kritikan.
“Apa yang paling menonjol ialah konsistensi beliau. Ucapan dan tindakan Perdana Menteri mencerminkan bukan sekadar ilmu akademik, tetapi ilmu yang hidup dan diterjemahkan dalam setiap keputusan,” katanya.
Beliau menambah, pendekatan kepimpinan tersebut wajar dijadikan teladan oleh semua pemimpin, pendidik dan rakyat.
Tegas beliau, segala kebaikan yang konsisten pasti akan diuji, namun jawapannya adalah ketenangan, kebijaksanaan dan kekal fokus pada misi yang mulia, sebagai hamba Tuhan, bukan hamba kepada kepuasan manusia.
Baca juga: Kebajikan penjawat awam terus dijaga, nikmati kenaikan gaji fasa 2 mulai hari ini