“Saya takkan umumkan” – Keith Foo pilih berdiam diri soal status agama, akui masih belajar Islam

Oleh MAISARAH AISYA

Pelakon Keith Foo mengambil pendekatan untuk tidak mengulas lanjut berhubung persoalan sama ada dirinya sudah memeluk Islam atau sebaliknya.

Isu itu mula menjadi tanda tanya dalam kalangan peminat selepas dia secara terbuka mengakui menjalin hubungan cinta dengan pelakon Riena Diana sejak tahun 2024.

Bagaimanapun, Keith menegaskan perkara tersebut adalah hal peribadi dan enggan memperincikannya buat masa ini.

Katanya, biarlah masa yang menentukan kerana orang ramai akan mengetahui perkara sebenar apabila tiba waktunya, lapor Kosmo! Online

“Soal sama ada saya sudah memeluk Islam atau belum biarlah jadi tanda tanya pada orang luar. Kita lihat saja apa yang akan berlaku pada hujung tahun ini.

“Saya takkan umumkan. Sudah atau belum, orang tahu sendiri nanti sebab benda ini semula jadi dari hati. Bukan sesuatu yang perlu dikecohkan,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Dalam masa sama, Keith memaklumkan dirinya masih dalam proses mempelajari dan mendalami agama Islam dengan tunjuk ajar insan sekeliling.

Malah dia mengakui dirinya dekat dengan Islam disebabkan ketenangan yang dirasainya.

“Saya masih belajar. Kadang-kadang kalau tak faham, Riena akan tunjuk. Kita membesar dengan agama masing-masing, banyak benda saya masih belum tahu.

“Terima kasih pada Riena yang banyak membantu. Cuba prosesnya mudah sebab dalam keluarga saya sendiri pun dah ada tiga mualaf. Islam bukan asing dalam keluarga saya.

“Saya rasa ketenangannya. Setiap kali sesuatu berlaku, sama ada baik atau buruk, kita berlapang dada serta selalu sebut alhamdulillah,” katanya.

Baca juga: NAFAS terus cemerlang di bawah kepimpinan Abg Mat Sabu