Nak bawa kereta masuk Thailand? Lesen fizikal cuma RM20, jangan sampai kena saman

Oleh MALAYSIADATELINE

Rakyat Malaysia yang merancang melancong ke Thailand dengan memandu kenderaan sendiri dinasihatkan mendapatkan lesen memandu fizikal bagi mengelakkan sebarang masalah ketika berurusan dengan pihak berkuasa negara berkenaan.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, lesen memandu fizikal boleh diperoleh dengan bayaran RM20 lapor Kosmo! Online.

Menurutnya, penggunaan lesen memandu digital sudah memadai untuk pemanduan dalam negara, namun mereka yang mahu memandu di luar Malaysia termasuk ke Thailand perlu menyediakan lesen dalam bentuk fizikal.

“Kita memang ada mengeluarkan lesen fizikal dengan bayaran RM20 sahaja. Bagi pemanduan dalam negara sudah memadai lesen digital, namun untuk ke luar negara termasuk Thailand memerlukan lesen fizikal.

“Selain lesen fizikal, orang ramai yang hendak ke luar negara juga boleh berurusan dengan kaunter JPJ untuk mendapatkan Permit Memandu Antarabangsa (IDP),” katanya.

Nasihatitu berdasarkan kejadian seorang pemandu Malaysia yang dilaporkan dikenakan saman oleh pihak berkuasa Thailand selepas gagal menunjukkan lesen memandu fizikal ketika melalui sekatan jalan raya di Hatyai.

Mengulas kejadian berkenaan, Mohd Misuari berkata, tindakan penguatkuasaan itu tertakluk kepada bidang kuasa pihak berkuasa Thailand.

Justeru, rakyat Malaysia yang mahu memandu ke negara jiran disaran memastikan dokumen diperlukan dibawa bersama dan tidak bergantung sepenuhnya kepada lesen digital yang digunakan di Malaysia.

Menurut beliau, JPJ sebelum ini pernah mengadakan perbincangan secara tidak rasmi dengan pihak berkuasa di Narathiwat mengenai penggunaan lesen digital di Malaysia.

Bagaimanapun, maklumat berhubung perkara itu berkemungkinan belum diketahui secara menyeluruh oleh semua pihak berkuasa di negara berkenaan.

“Rakyat Malaysia terkenal dengan disiplin dan saya berharap kita dapat kekalkan disiplin dengan mengambil tahu peraturan di negara yang kita lawati,” katanya.

Sebelum ini, seorang pemandu Malaysia dilaporkan dikenakan saman sebanyak 1,000 baht, bersamaan kira-kira RM121, kerana gagal mengemukakan lesen memandu fizikal ketika melalui sekatan jalan raya di Hatyai.

Baca juga: Aminuddin Harun utamakan amanah, fokus kerja demi kebajikan rakyat – PM Anwar