Pengacara majis terkenal yang juga personaliti media sosial, Viviana Abdullah kembali mencuri perhatian ramai baru-baru ini selepas menjawab persoalan hangat mengenai kehidupannya jika berkahwin dengan wanita.
Sosok yang sering kali berpenampilan seperti wanita itu mengakui tidak memiliki masalah untuk menikah namun perkahwinan tersebut mungkin akan berjalan tanpa perasaan cinta terhadap seorang isteri.
Namun sebaliknya, Viviana atau nama sebenarnya Wan Marzuki Wan Daud hanya mampu menyayangi wanita dinikahinya seperti seorang ibu dan kakak tanpa sebarang perasaan cinta sebagai isteri mahupun pasangan.
Pengakuan tersebut dibuat sendiri oleh Viviana selepas ditanya mengenainya oleh pengacara program audio siar, The Corner Sister yang mana sedutan rakamannya turut dikongsikan di platform TikTok.
“Saya boleh bercinta dan berkahwin dengan perempuan. Tetapi maksimum kasih sayang yang boleh diberi hanya seperti saya menyayangi mak dan kakak. Kalau isteri nak rumah, beg, baju atau makan minum, saya boleh sediakan,” katanya.
Walau bagaimanapun, pemuda berusia 43 tahun itu tidak menafikan bahawa perkahwinan tersebut mungkin akan berujung kepada penceraian memandangkan isterinya akan pergi ke Mahkamah Syariah.
Hal ini berikutan personaliti popular itu tidak mempunyai kemampuan untuk menjalankan tanggungjawab batin sebagai seorang suami malah tidak memiliki sebarang perasaan ghairah terhadap isterinya kelak.
“Suatu perkara yang mungkin akan membuatkan dia pergi ke Mahkamah Syariah. Batin dia mungkin tidak dapat dilunaskan. Kalau isteri berada dalam keadaan tidak berbaju, saya akan pandang.
“Tetapi saya tiada apa-apa perasaan melihatnya. Malah saya lebih mahukan apa yang dia miliki (tubuh badan). Tiada perasaan ghairah.” Akuinya dengan jujur dalam rakaman berdurasi 49 saat itu.
Setakat artikel ini ditulis, rakaman tersebut sudah berjaya meraih sebanyak 667,400 tontonan daripada pengguna TikTok yang mana rata-ratanya menghargai sikap Viviana kerana berani berlaku jujur.
Ramai juga pengguna mengakui memaklumi fitrah lelaki lembut seperti itu wujud namun hanya mampu mengirimkan doa agar insan sepertinya kuat melawan nafsu dan terus semangat mengharungi ujian dari Illahi.
Baca juga: Jojie Aminuddin tak nafi wujud unsur sabotaj dalam konsert Ella, bukti ada di CCTV