Usahawan sekarang tak ada kedai pun jualan capai jutaan ringgit…ada sebabnya peniaga lama kena belajar dari Gen Z

Oleh KIM SYAZIE

Perbezaan cara berniaga antara generasi lama dan Gen Z sering jadi perdebatan. Ada yang melabel anak muda sebagai terburu-buru, manakala generasi terdahulu pula dianggap terlalu berhati-hati. Namun hakikatnya, kedua-duanya cuma berfikir dengan pendekatan berbeza.

Jika dulu perniagaan perlu bermula dengan kedai fizikal, modal besar dan stok menimbun, kini ramai usahawan muda hanya bermodalkan telefon pintar, media sosial dan idea kreatif untuk terus ‘test market’. 

Tanpa sewaan premis atau kos tinggi, mereka mampu menjual secara langsung kepada pelanggan dalam talian.

Bagi seorang usahawan tani dikenali sebagai Coach Bahar, perubahan landskap ini membuka matanya bahawa kejayaan bukan lagi soal siapa lebih lama berniaga, tetapi siapa lebih pantas menyesuaikan diri. 

Katanya, gabungan kelajuan Gen Z dan pengalaman generasi lama sebenarnya mampu mencipta impak lebih besar.

Berikut kami kongsikan artikel penuh beliau yang dikongsikan di Facebook.

Beza bisnes Gen Z dengan generasi lama. Saya perhati satu benda. Budak Gen Z ni bukan malas.

Mereka cuma berfikir cara lain. Generasi dulu (termasuk saya masa muda) kalau nak mula bisnes:

– Sewa kedai dulu

– Renovate dulu

– Buat papan tanda besar

– Simpan stok banyak

– Baru tunggu orang datang

Gen Z?

– Ada telefon 

– Ada idea

– Ada TikTok

– Terus jual

Tak ada kedai pun jalan. Tak ada stok pun boleh buat tempahan. Tak ada modal besar pun boleh masuk pasaran.

Generasi lama fikir: “Nak stabil dulu.”

Gen Z fikir: “Nak laju dulu.”

Generasi lama kumpul aset. Gen Z kumpul audien. Generasi lama simpan tanah. Gen Z simpan database.

Generasi lama tunggu pelanggan masuk kedai. Gen Z masuk dalam telefon pelanggan.

Tapi saya nampak satu benda penting. Kalau Gen Z ada kepantasan, dan generasi lama ada pengalaman. Gabungan dua ni… bahaya.

Sebab tu saya tak marah budak muda berniaga secara siaran langsung. Saya tak kutuk budak jual guna konten.

Saya cuma pesan satu benda:

1. Jangan ada kepantasan tanpa sistem.

2. Jangan viral tanpa nilai.

3. Jangan kejar cepat sampai lupa asas.

Saya petani. Saya ada tanah. Saya ada produk fizikal. Tapi saya belajar jual guna cara Gen Z.

Sebab dunia dah berubah. Kalau kita tak berubah, kita akan ketinggalan.

Semalam Khairul Aming jual rendang je pun. Jualan RM2 juta sehari. KA tinggalkan ramai orang. Resipi yang katanya 1 resipi setiap hari, baru puasa ke -3 dah dekat 10 dah. Tak terikut. 

KA gen Y tapi otak turbo guna otak gen Z. 

Siapa setuju generasi lama dan Gen Z patut belajar antara satu sama lain?

Baca juga: Ramadan pun masih dikecam, Mia Sara dedah ada yang sanggup doakan dia mati