Siti Nurhaliza belanja karipap, peminat sanggup redah hujan dari Maluri ke Bukit Antarabangsa

Oleh MALAYSIADATELINE

Seorang peminat sanggup meredah hujan dari Maluri ke Bukit Antarabangsa semata-mata mahu mendapatkan karipap yang disediakan oleh Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, atau lebih mesra disapa TokTi.

Menerusi perkongsian di Threads oleh pengguna jepp_wak_salam, dia memaklumkan bahawa penyanyi tersohor itu pada awalnya membuat siaran langsung (live) sambil menyediakan karipap.

Kemudian Siti mempelawa orang ramai yang sudi untuk datang mengambil juadah tersebut di kediamannya.

“Hujan-hujan duk (tengah) layan TokTi buat karipap, dan hujung-hujung live TokTi beritahu dia nak bagi karipap pada yang sudi datang ambil di rumah.

“Apa lagi, hujan-hujan aku sanggup redah dari Maluri ke Bukit Antarabangsa. Terima kasih TokTi belanja karipap untuk berbuka nanti.

“Sumpah macam tak percaya dapat makan makanan hasil tangan biduanita negara,” tulisnya.

Dalam hantaran tersebut, kelihatan dua keping karipap diletakkan di dalam bekas makanan sebagai tanda penghargaan buat peminat yang hadir walaupun dalam keadaan cuaca kurang baik.

Sementara itu, satu paparan perbualan yang dikongsikan turut menarik perhatian apabila Siti membalas gambar dimuat naik di Instagram.

“Ya Allah… kesiannya.. Dua cukup ya,” balasnya kepada Instagram story individu berkenaan.

Dia kemudian menjelaskan bahawa pembantu TokTi sebenarnya ingin memberikan dua bekas karipap, namun dia menolak dengan baik kerana mahu berkongsi rezeki dengan orang lain.

“Tadi pembantu TokTi nak bagi dua bekas tapi saya cakap tak apa, bagi satu saja. Kongsi dengan orang lain juga. Apa pun terima kasih Datuk Siti,” jelasnya.

Baca juga: Usahawan sekarang tak ada kedai pun jualan capai jutaan ringgit…ada sebabnya peniaga lama kena belajar dari Gen Z