Selalu tidur duduk, Amyza Adnan pernah dedah simptom Andre sebelum disah hidap kanser

Oleh MALAYSIADATELINE

Pemergian anak sulung kepada pelakon, Amyza Adnan iaitu Andre Mikhail selepas bertarung melawan kanser paru-paru tahap tiga pada malam Isnin meninggalkan kesan yang cukup mendalam buat rakyat Malaysia.

Mana tidaknya, pemuda berusia 23 tahun terbabit pergi meninggalkan ibunya di umur yang cukup muda sekali gus membuatkan orang ramai berkongsikan rasa simpati mereka terhadap ujian kini perlu dilalui Amyza.

Khabar duka yang masih menjadi topik perbualan hangat di platform media sosial sehingga kini itu sudah tentunya menimbulkan tanda tanya berhubung keadaan kesihatan pemuda terbabit sebelum meninggal dunia.

Perkara ini pernah didedahkan oleh Amyza sendiri dalam satu program audio siar, Soutudeen pada Disember lalu di mana pelakon terbabit mendedahkan simptom awal anak sulungnya itu sebelum disahkan menghidap kanser.

Menurut Amyza, segalanya bermula apabila Andre yang aktif bersukan itu mengadu sakit bahu selain mengalami gejala berpanjangan pada awalnya disangka kekejangan atau koyakan otot selain sering pening kepala.

Amyza bagaimanapun mula merasa tidak sedap hati apabila anaknya mengalami kesukaran untuk melelapkan mata sehingga terpaksa tidur dalam keadaan duduk untuk mengelak sesak nafas yang menyesakkan dada.

“Balik dari ‘outstation’, saya buka pintu. Tertanya, ‘kenapa bau lagi minyak panas, tak baik-baik lagi ke? Anak kedua saya beritahu, ‘Mummy, Andre sekarang tidur duduk sahaja’. Apabila dia cakap macam itu, terus teringat suami.

“Sebelum suami ditidurkan di unit rawatan rapai (ICU), dia tidur duduk selama tiga bulan. Rupanya paru-paru sudah penuh air, kegagalan buah pinggang. Jadi saya terus fikir, apabila Andre tidur duduk, maknanya paru-paru sudah berairlah?

“Esok itu saya terus call klinik kesihatan yang boleh dapat imbasan X-RAY secepatnya,” kongsi Amyza sebelum memaklumkan prosedur tersebut mengesan terdapat bendalir dipercayai cecair dalam paru-paru Andre.

Susulan menerima diagnosis awal, Andre pada mulanya ditahan di hospital untuk menjalani prosedur menyedut cecair keluar daripada paru-parunya yang dijangka boleh diselesaikan dengan cepat.

Namun lain pula yang jadi apabila cecair tidak ditemukan dalam paru-paru Andre sebaliknya ketumbuhan sebesar 18 sentimeter (cm) sebelum pemuda terbabit akhirnya disahkan menghidap kanser.

Sekadar info, jenazah pemilik nama sebenar Andre Mikhail Khairil Idzhar itu telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Ampang pada jam 10.40 pagi tadi.

Pengebumian Allahyarham Andre dihadiri oleh ratusan orang untuk memberikan penghormatan yang terakhir termasuk daripada kalangan ahli keluarga, selebriti dan kenalan terdekat.

Baca juga: Hamzah Zainuddin fail saman fitnah RM100 juta, pengasas Bersatu dinamakan defenden